SEJARAH SEKOLAH

>> 10 January 2008

Menurut sejarah awal kampung Tedong yang disampaikan secara lisan , Kampung ini di buka pada kurun ke-17 . Nama kampung ini diambil sempena dari nama ular tedong yang menyusuri Sungai Tedong dari hulu ke muara sungai. Kesan dari laluan ular tersebut menyebabkan sungai berkelok-kelok kemudian ianya telah diluruskan oleh Penghulu Baba bersama anak buahnya.

Sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Tedong yang disampaikan secara lisan oleh Allahyarham Datuk Penghulu Hj Ahim bin Katik, bangunan asas Sekolah Kebangsaan Tedong ini telah dibina dalam tahun 1897. Bangunan ini fizikalnya hanya bangunan kayu (bangsal) berukuran 10x13 meter persegi. Guru Besar pada ketika itu ialah Encik Rasul bin Hamzah beserta dua orang guru. Pada ketika itu, gaji yang dibayar ialah sebanyak RM8.00 dan RM6.00 sebulan oleh kerajaan negeri.

Dalam tahun 1901, sekolah ini telah musnah dalam satu kebakaran kecil. Oleh itu sebuah bangunan baru beratap zink dan berlantaikan papan telah didirikan di atas tanah lot 312 (tapak Bangunan A).

Sembilan tahun yang berikutnya iaitu pada tahun 1910, di atas tapak yang sama dua buah bangunan baru dibina. Bangunan ini diperbuat daripada tiang batu, dinding kayu dan beratap genting. Bangunan ini dilengkapi 7 bilik darjah , 6 buah tandas angkut, sebuah perigi batu, dan sebuah padang permainan disediakan di tanah lot 307 dan lot 308.

Oleh kerana pertambahan bilangan pelajar maka dalam tahun 1959 , satu bangunan tambahan yang pertama telah didirikan di atas tanah lot 312 dan mempunyai 4 buah bilik darjah.

Pada tahun 1975, bangunan yang didirikan pada tahun 1910 dirobohkan kerana keadaannya usang dan membahayakan pelajar. Di samping itu , sebuah bilik darjah yang dibina pada tahun 1959 turut dirobohkan untuk dibuat laluan . Sebuah bangunan tambahan dua tingkat dibina di atas tanah lot 307 dan lot 308. Bangunan ini mempunyai 10 buah bilik darjah, sebuah ruang pejabat, sebuah bilik guru, 3 buah stor , dan beberapa buah tandas.


(Era 50-an)

Pada 27 Mac 1981 bangunan dua tingkat tersebut telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Hj. Othman bin Abd Malik. Pada ketika itu Guru Besar sekolah ialah Yang Berbahagia Tuan Hj. Md. Salleh bin Md Ali. Menjelang awal Mei 1983 Kementerian Pelajaran telah menaik taraf sekolah ke gred B.

Pada tahun 1989 bangunan tambahan ketiga setinggi 3 tingkat telah didirikan bagi menggantikan bangunan tahun 1959 yang telah rosak. Bangunan tersebut mempunyai sebuah Pusat Sumber, Bilik Tayang, Surau, Bilik guru dan tiga buah bilik darjah.

Bilangan murid semakin bertambah maka pada tahun 1996 Pusat Sumber dan Bilik Tayang telah diubahsuai untuk menjadi 2 buah bilik darjah Manakala lorong di bangunan A telah diubah suai menjadi bilik pemulihan. Pada tahun 1999 bangunan kantin disambung untuk dijadikan ruang makan guru.

2 comments:

Abu Hassan Hewap Sunday, 22 November, 2009  

Sejarah penamaan kampung adalah serupa dengan apa yang diceritakan oleh guru saya semasa bersekolah di Tedong dalam tahun 50an. Cikgu yang saya maksudkan adalah Ciku Sabil atau Cikgu Abu Bakar. Saya mendaftar masuk pada 8.1.1950 dan keluar pada Disember 1954. Saya melompat kelas: daripads darjah 1 ke darjah 3! Saya masih menyimpan dengan baik sijil asal keluar sekolah. Saya melanjutkan pelajaran ke STAR Ipoh,bersama Eli bin Lana. Sekarang saya menetap di Serdang, Selangor selepas bersara daripada UPM 1998 dan UPSI 2003. Saya minat menatap gambar yang dipaparkan tetapi ianya tidak boleh dibesarkan. Saya boleh dihubungi melalui berikut:
hassanhewap@yahoo.com/hassantedong@gmail.com atau 03 89430293/012 2977727

Abu Hassan Hewap Tuesday, 11 May, 2010  

Saya masih ingat lagi tentang program makanan tambahan yang diberikan kepada semua pelajar ketika tahun 50an!Nasi dihantar ke sekolah dengan kereta. Susu dan biskut dihidangkan juga. Saya amat berterima kasih jikalau sorotan penting ini dihighlightkan. Tentunya pakar sejarah dan ahli polotik Melaka Tan Sri Aziz Tapa boleh memberikan maklumat. Seperkara lagi, di sisi kanan bangunan belakang ketika itu terdapat kebun kopi. Saya ketika itu suka memenajat untuk menjamah beberapa buah kopi yang masak merah kerana rasanya manis! Ditepi pagar yang bersempadan dengan kedai Tuan Haji Ahmad terdapat sebatang pokok bacang. Buahnya kecil dan bulat. Ianya menjadi sasaran kami semasa waktu rihat!

Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS