GOTONG-ROYONG

>> 29 June 2009

Pada 29 Jun 2009 Pusat Sumber SK Tedong di bawah pimpinan Pn. Rohani Ismail telah mengadakan aktiviti gotong-royong mengemas kini dan mengkatalog bahan- bahan sumber pembelajaran pusat sumber sekolah. Aktiviti gotong-royong ini diadakan pada jam 3.30 ptg - 5.30 ptg. Kebanyakan guru-guru SK Tedong telah hadir untuk menjayakan aktiviti ini di samping dibantu oleh murid- murid Tahun 4 dan 5. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru dan murid yang terlibat menjayakan gotong-royong ini. Semoga Pusat Sumber SK Tedong akan berjaya di dalam pertandingan Pusat Sumber Sekolah yang akan dianjurkan oleh BTPNM.

Read more...

KUMPULAN NASYID SK TEDONG

>> 24 June 2009

Pada 23hb Jun 2009, Kumpulan Nasyid SK Tedong telah menyertai Pertandingan Nasyid Sekolah Rendah DUN Serkam yang diadakan di Dewan Hjh. Maimunah Khamis, SK Serkam Darat. Dalam pertandingan ini, SK Tedong telah berjaya menduduki tempat ke-3. Tahniah dan syabas kepada Kumpulan Nasyid SK Tedong dan guru-guru yang telah melatih iaitu Pn. Zaharah, Pn. Zaliha, Pn. Yusni, Pn. Adawiyah dan Cik Suziana. Semoga tahun hadapan kita boleh muncul sebagai juara, insya-Allah...janji suara tekong 'power'...

Read more...

PASUKAN KOMPANG FORMASI SK TEDONG

Pada hari Isnin, 22hb Jun 2009, seramai 15 orang ahli Pasukan Kompang Formasi SK Tedong diiringi 3 orang guru mewakili negeri Melaka ke Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Hotel Goldcourse, Klang. Pada tahun ini merupakan kali ke -5 berturut-turut pasukan kompang SK Tedong mewakili negeri Melaka ke peringkat kebangsaan dalam kategori sekolah rendah.
Semenjak pertandingan ini mula-mula diadakan pada tahun 2005 pada peringkat negeri, pasukan kompang SK Tedong ini telah mengungguli sebagai Johan pada setiap tahun.Ini adalah suatu kejayaan yang amat membanggakan warga sekolah dan masyarakat setempat.
Tahniah dan syabas kepada para peserta dan Cikgu Abd Hakim Aliman yang telah membimbing dan melatih pasukan kompang ini sehingga berjaya menjadi Juara peringkat negeri selama 5 tahun berturut-turut.Walau pun pada peringkat kebangsaan pasukan kompang SK Tedong tidak berjaya mendapat tempat ke-3 terbaik, namun jangan berputus asa. Teruskan usaha dan mungkin pada suatu hari nanti pasukan ini akan menjadi Johan peringkat kebangsaan. Teruskan usaha, SK Tedong terus maju jaya.

Read more...

Sekolah Diminta Pantau Influenza A

>> 23 June 2009

Berita Harian Online : Semua sekolah diminta memantau tanda-tanda penyakit selesema babi atau Influenza A(H1N1)seperti demam panas dan selesema bagi mengelak jangkitan tempatan wabak itu di kalangan pelajar dan warga sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata jika ada tanda-tanda yang menjurus kepada penyakit itu, pengurusan sekolah perlu merujuknya ke hospital dengan segera.
"Sekiranya pelajar atau warga sekolah disahkan telah dijangkiti penyakit selesema babi itu, maka tindakan yang telah dinasihatkan oleh jabatan kesihatan perlu diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua buah sekolah di Lembah Klang, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson dan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2, telah diarah tutup selama seminggu mulai semalam dan hari ini kerana masing-masing mempunyai satu kes jangkitan tempatan H1N1.

Empat sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Seksyen 9 Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama: Sekolah Menengah Wangsa Maju; dan Sri Chempaka International School; pula masing-masing diarah menutup satu kelas selepas kes H1N1 disahkan.

Alimuddin berkata, antara langkah segera yang perlu diambil oleh pihak pengurusan sekolah jika berdepan dengan masalah ini ialah merujuk kes itu kepada hospital berdekatan untuk tindakan kuarantin mangsa dan keluarga.

Selain itu, katanya, pihak sekolah perlu menghubungi keluarga pelajar atau warga sekolah berkenaan dengan segera dan menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

"Pengurusan sekolah juga diminta membantu pihak hospital untuk mengenal pasti individu yang pernah berhubung dengan pesakit berkenaan selain memastikan persekitaran sekolah masing-masing terutama tandas, bilik darjah, kantin dan asrama, sentiasa bersih.

"Tidak keterlaluan sekiranya pihak pengurusan berkemampuan mengambil suhu badan pelajar dan warga sekolah setiap hari kerana dengan cara ini dapat mengesan perubahan awal kesihatan pelajar dan warga sekolah dan seterusnya tindakan segera, termasuk menghantar mereka ke hospital, dapat dilakukan segera.

"Namun begitu, kita ingin mengingatkan ibu bapa supaya tidak panik kerana semua langkah proaktif yang diambil pihak sekolah adalah langkah berjaga-jaga sahaja dan ia adalah dengan nasihat Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan," katanya.

Alimuddin berkata, semua aktiviti sekolah termasuk kokurikulum berjalan seperti biasa. - Bernama

Read more...

LADAP KE-3

>> 21 June 2009

Pada 20hb Jun 2009, SK Tedong telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kali ke-3. LADAP kali ini bertajuk Pengurusan P&P dan Bilik Darjah Yang Berkesan diadakan di Makmal Komputer SK Tedong. Slot pertama iaitu Pengurusan P&P dibentangkan oleh En. Mohd Sani Bin Hj. Osman. Beliau merupakan Penolong PPD Jasin (KU Pengurusan Akademik).

Slot kedua pula diisi oleh ceramah bertajuk Pengurusan Bilik Darjah Yang Berkesan yang disampaikan oleh En. Anuar Bin Abu Bakar. Beliau merupakan GPK 1 SK Tedong.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Mohd Sani Bin Hj. Osman dan En. Anuar Bin Abu Bakar kerana sudi memberikan input-input yang berguna dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran guru-guru SK Tedong.




Read more...

KAEDAH BELAJAR

>> 18 June 2009

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan 9 kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan.

Pertama~Tidak mensia-siakan masa biar pun seminit:
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu untuk diambil pulang ke rumah, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.

Kedua~Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi:
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

Ketiga~Gunakan masa awal pagi:
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukkan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.

Keempat~Buat nota ringkas:
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

Kelima~Mengikut jadual sepenuhnya:
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaja buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggungjawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

Keenam~Mencuba soalan tahun lalu:
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawab contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya bergantung pada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

Ketujuh~Ulang sebanyak kali yang boleh:
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akan dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

Kelapan~Sentiasa menanya kalau tidak faham:
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menanya kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan~Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah:
Jika anda lemah dalam Bahasa Inggeris atau Matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.

Read more...

KEMBALI BERSEKOLAH

>> 14 June 2009

Selamat kembali bersekolah kepada murid-murid SK Tedong. Setelah bercuti selama 2 minggu, diharapkan semua murid bersemangat untuk menyambung kembali belajar. Semoga cuti anda penuh memori indah. Tentu semasa cuti ramai yang mabuk makan gedian (durian). Maklumlah sekarang musim durian. Selepas makan jangan lupa minum banyak air kerana durian itu panas. Kepada guru-guru SK Tedong, selamat kembali menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa. Dengar khabar ada yang jadi taukeh durian sekarang...Bawa la sikit ke sekolah...

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS