LADAP KE 6

>> 28 October 2009

Pada 24 Oktober 2009, SK Tedong telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kali ke 6. LADAP kali ini bertajuk Kajian Tindakan dan diadakan di Makmal Komputer SK Tedong. Fasilitator yang dijemput untuk membimbing guru-guru dalam slot Kajian Tindakan ini ialah Encik Muhamad Bin Harun (Penyelia Sek. Rendah, Unit Sek. Rendah, Jabatan Pelajaran Melaka).
Matlamat tajuk ini dipilih ialah untuk meningkatkan penambahbaikan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta membuktikan guru-guru sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui penyelidikan.
Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Muhamad Bin Harun kerana sudi menjadi fasilitator dalam LADAP ke 6 ini.

En. Muhamad Bin Harun sedang menerangkan mengenai Kajian Tindakan.

Read more...

Naib Johan Anugerah NILAM Negeri Melaka 2009

>> 21 October 2009

Pada 20 Oktober 2009 bertempat di Air Keroh D'Village, Melaka, seorang murid SK Tedong iaitu Adik Nor Suhaila Binti Zakaria dianugerahkan sebagai Naib Johan Anugerah Tokoh Pembaca (NILAM) Peringkat Negeri Melaka 2009 Kategori Sekolah Rendah Luar Bandar. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Adik Nor Suhaila di atas penganugerahan tersebut.
Pada 17 Februari 2009, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka telah diadakan pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Negeri. Pemilihan ini adalah anjuran bersama BTPN Melaka, Jabatan Pelajaran Melaka dan Persatuan Perpustakaan Sekolah-sekolah Negeri Melaka (PUSTAKAM). Pemilihan tokoh NILAM ini juga merupakan satu pemilihan yang standard dan mengikut garis panduan persijilan ISO9001:2000
Kriteria pemilihan calon tokoh NILAM peringkat negeri adalah seperti berikut:
1. Sudah membaca lebih 360 buah buku bagi sekolah rendah.
2. Dibuktikan dengan rekod yang disahkan oleh pihak sekolah dan panel penilai negeri (JPN,PPD,BTPN dan PKG).
3. Kecekapan dan keyakinan apabila diusulkan pelbagai soalan berkenaan bahan bacaan.
4. Pencapaian akademik (berdasarkan buku rekod prestasi).
5. Pembacaan teks yang ditentukan oleh panel penilai.
Semoga dengan penganugerahan ini akan menyemarakkan lagi semangat Adik Nor Suhaila untuk terus berjaya di masa hadapan.

Read more...

Pemansuhan "Open Book Test" PTK

>> 19 October 2009

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan surat siaran bil. KP(BPPK) 111/6 Jld.2(45) yang bertarikh 11 Mac 2009, telah memaklumkan mengenai pelaksanaan Open Book Test bagi penilaian generik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mulai Mac 2009. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui suratnya bil. JPA(PERK)241/40/1-1(19) bertarikh 28 September 2009, ianya telah mewujudkan ketidakseragaman dalam aspek pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan skim-skim perkhidmatan yang lain. Sehubungan dengan itu, dengan ketetapan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelaksanaan Open Book Test adalah dimansuhkan mulai tarikh surat siaran KP(BPPK)111/6/ Jld.4(23) bertarikh 7 Oktober 2009.(Sumber: Jabatan Pelajaran Melaka)Rujuk Surat Siaran.

Read more...

Undangan Majlis Perkahwinan

>> 09 October 2009

Pada 10/10/2009 (Sabtu), Puan Natrah Binti Hj. Budin (Guru Besar SK Tedong) akan mengadakan Majlis Perkahwinan anak perempuan beliau. Majlis ini akan diadakan di JA 1898, Parit Perawas, Sungai Rambai, Melaka.
Pasangan pengantin ialah Norazura Binti Zahari & Suhaimi Bin Hassannudin. Kepada semua staff SK Tedong dan tetamu yang telah dijemput agar dapat meluangkan masa dan menghadirkan diri ke majlis perkahwinan tersebut. Sama-samalah kita meraikannya dan semoga majlis perkahwinan ini akan diberkati dan dirahmati Allah S.W.T. Kepada Puan Natrah diucapkan "Selamat Menyambut Menantu".

Read more...

Selamat Datang Cikgu Fazari Bin Ali

>> 06 October 2009

Warga SK Tedong mengucapkan "Selamat Datang" kepada Cikgu Fazari Bin Ali bagi menjawat jawatan GPK Kokurikulum yang baru menggantikan Cikgu Zainal Md. Katas yang telah berpindah.
Beliau memulakan tugasnya di SK Tedong pada 5/10/2009. Sebelum ini Cikgu Fazari Bin Ali bertugas di SK Merlimau. Ini merupakan satu kenaikan pangkat dalam karier beliau sebagai pendidik.
Semoga dengan kehadiran beliau akan menjadikan SK Tedong terus dan bertambah cemerlang dalam bidang kokurikulum.
"Selamat Maju Jaya"

Read more...

Majlis Sent Off Cikgu Zainal

>> 03 October 2009

Cikgu Zainal bersalaman dengan murid-murid.

Pada 2 Oktober 2009, SK Tedong dengan rasa dukacita dan terharu mengadakan Majlis Sent Off Cikgu Zainal Bin Md Katas. Beliau merupakan GPK Kokurikulum dan mula bertugas di SK Tedong pada 1 April 2008. Beberapa hari sebelum menyambut Aidilfitri, beliau telah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Melaka yang mengarahkan beliau berpindah ke SK Chincin untuk menjawat jawatan GPK HEM berkuatkuasa 16 September 2009. Namun begitu beliau memohon penangguhan tarikh kerana perlu menyelesaikan beberapa tugas penting. Oleh itu pada 2 Oktober 2009, barulah Majlis Sent Off ini diadakan dan Cikgu Zainal akan memulakan tugas di sekolah baru bermula 5 Oktober 2009.
Pertukaran Cikgu Zainal merupakan satu kehilangan yang besar kepada SK Tedong kerana beliau begitu komited dengan tugasnya dan amat disenangi oleh semua warga SK Tedong. Tempoh beliau berkhidmat di SK Tedong hanyalah 1 tahun 5 bulan.
Kepada Cikgu Zainal diucapkan selamat maju jaya dan kenangan bersama warga SK Tedong abadi selamanya. Terima kasih diucapkan di atas jasa dan budi yang ditaburkan sepanjang beliau berkhidmat di SK Tedong.

Read more...

Majlis 3 Dalam 1

Majlis Khatam Al-Quran

Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal

Pada 1 Oktober 2009, SK Tedong telah mengadakan 3 majlis serentak. Majlis tersebut ialah Khatam Al-Quran, Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal.
Dalam Majlis Khatam Al-Quran, seramai 10 orang murid Tahun 6 terlibat. Dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, semua murid SK Tedong berpakaian hari raya dan membawa kuih-muih. Manakala Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal diadakan kerana beliau akan berpindah ke SK Chincin menjawat jawatan GPK HEM. Ketiga-tiga majlis ini diadakan dengan meriahnya.

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS