Keputusan UPSR 2009

>> 20 November 2009

Pada 19 November 2009, keputusan UPSR bagi tahun 2009 telah diumumkan. Inilah saat suka dan duka bagi murid-murid Tahun 6, ibu bapa dan guru-guru. Kepada yang berjaya mendapat keputusan cemerlang diucapkan tahniah. Kepada yang kurang berjaya pula jangan berputus asa, teruskan usaha.
Pada tahun ini SK Tedong telah berjaya memperoleh peratus lulus keseluruhan sebanyak 78.7% berbanding tahun sudah sebanyak 53.8%. Ini
merupakan satu kenaikan dan pencapaian terbaik dalam sejarah SK Tedong. Namun begitu, hanya seorang murid sahaja mendapat keputusan 5A manakala dua orang mendapat 4A1B dan seorang mendapat 4A1C.
Berikut ialah analisa lulus setiap subjek:
Bahasa Melayu Pemahaman : 97.9%
Bahasa Melayu Penulisan : 93.6%
Bahasa Inggeris : 85.1%
Matematik : 95.7%
Sains : 89.4%


Read more...

Hari Penyampaian Hadiah 2009

Pada 19 November 2009, SK Tedong telah mengadakan Hari Penyampaian Hadiah. Majlis ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada murid-murid SK Tedong yang telah menunjukkan keupayaan tertinggi dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sumbangan kepada pihak sekolah. Kategori penyampaian hadiah ialah Penghargaan Kepada Murid Prasekolah, Hadiah Kedudukan Terbaik Dalam Kelas, Hadiah Mata Pelajaran Tertinggi, Hadiah Galakan Kelas Melati, Hadiah Pembaca Terbanyak Program NILAM, Anugerah JQAF, Penghargaan Ketua dan Penolong Ketua Darjah, Penghargaan Pengawas Sekolah Tahun 6, Penghargaan Pustakawan Tahun 6, Anugerah Kokurikulum, dan Tokoh Murid.

Read more...

Jamuan Perpisahan Tahun 6

>> 18 November 2009

Pada 18 November 2009, murid-murid Tahun 6 telah mengadakan jamuan perpisahan. Semua staff SK Tedong telah dijemput menghadiri jamuan ini. Menu utama ialah nasi ayam. Selain itu terdapat roti jala, kek, keropok, kacang bersulamkan cendol. Tujuan jamuan ialah untuk meraikan murid-murid Tahun 6 yang akan menamatkan alam persekolahan sekolah rendah. Moga semua murid Tahun 6 ini akan terus berjaya di alam persekolahan sekolah menengah kerana persaingan dan cabaran semakin hebat. Kepada semua murid Tahun 6, renungilah pantun ini:
Berburu ke padang datar,

Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Read more...

Annual Dinner

Pada 17 November 2009, Kelab Staff SK Tedong telah mengadakan Annual Dinner. Majlis ini telah diadakan di Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai, Melaka bermula jam 8.00 malam. Majlis jamuan ini merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang oleh Kelab Staff SKT di bawah pimpinan Cikgu Ismail Md Sani. Majlis jamuan ini amat meriah kerana semua ahli kelab staff dapat hadir berkumpul bersama sambil menikmati jamuan makan malam bermenu makanan laut.
Dalam majlis ini juga diraikan Cikgu Rijle Johari yang akan berpindah mengajar ke Kedah bermula bulan Januari 2010 nanti. Kepada beliau diucapkan selamat maju jaya dalam mendidik anak bangsa walau di mana berada.

Sebahagian ahli kelab staff yang hadir.

Cikgu Rijle sedang memberikan ucapan perpisahan.

Read more...

Perkhemahan Unit Beruniform 2009

>> 08 November 2009

Pada 6 hingga 8 November 2009, SK Tedong telah mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform. Perkhemahan ini disertai oleh lebih kurang 109 orang murid-murid Tahun 4, 5, dan 6 yang mewakili empat unit beruniform iaitu Pengakap Kanak-kanak, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Puteri Islam. Antara pengisian aktiviti sepanjang perkhemahan ini ialah seperti Pertolongan Cemas, Membina Gajet, Kawad Kaki, Senamrobik, Pertandingan Memasak, Malam Persembahan, Sukaneka dan lain-lain lagi. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan murid yang terlibat menjayakan perkhemahan ini.



Read more...

Keuzuran Cikgu Hakim

>> 06 November 2009

Sudah seminggu Cikgu Hakim Bin Aliman dimasukkan ke Hospital Besar Melaka. Beliau dimasukkan ke hospital kerana batu karang dalam hempedu. Kini beliau ditempatkan di Aras 4 wad 2 Hospital Besar Melaka. Seluruh warga SKT mendoakan agar beliau cepat sembuh.

Read more...

Kem Membaca 1Malaysia

>> 03 November 2009

Pada 27 Oktober 2009, SK Tedong telah mengadakan Majlis Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pn. Natrah Binti Budin selaku Guru Besar. Objektif kem membaca ini dilancarkan ialah mengisi masa lapang murid selepas peperiksaan, menggerakkan aktiviti galakan membaca, dan memupuk minat membaca secara berterusan. Dalam majlis ini murid-murid tertentu dipilih memperagakan pakaian perayaan tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina, dan India untuk menunjukkan semangat 1Malaysia.



Read more...

LADAP KE 6

>> 28 October 2009

Pada 24 Oktober 2009, SK Tedong telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kali ke 6. LADAP kali ini bertajuk Kajian Tindakan dan diadakan di Makmal Komputer SK Tedong. Fasilitator yang dijemput untuk membimbing guru-guru dalam slot Kajian Tindakan ini ialah Encik Muhamad Bin Harun (Penyelia Sek. Rendah, Unit Sek. Rendah, Jabatan Pelajaran Melaka).
Matlamat tajuk ini dipilih ialah untuk meningkatkan penambahbaikan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta membuktikan guru-guru sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui penyelidikan.
Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Muhamad Bin Harun kerana sudi menjadi fasilitator dalam LADAP ke 6 ini.

En. Muhamad Bin Harun sedang menerangkan mengenai Kajian Tindakan.

Read more...

Naib Johan Anugerah NILAM Negeri Melaka 2009

>> 21 October 2009

Pada 20 Oktober 2009 bertempat di Air Keroh D'Village, Melaka, seorang murid SK Tedong iaitu Adik Nor Suhaila Binti Zakaria dianugerahkan sebagai Naib Johan Anugerah Tokoh Pembaca (NILAM) Peringkat Negeri Melaka 2009 Kategori Sekolah Rendah Luar Bandar. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Adik Nor Suhaila di atas penganugerahan tersebut.
Pada 17 Februari 2009, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka telah diadakan pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Negeri. Pemilihan ini adalah anjuran bersama BTPN Melaka, Jabatan Pelajaran Melaka dan Persatuan Perpustakaan Sekolah-sekolah Negeri Melaka (PUSTAKAM). Pemilihan tokoh NILAM ini juga merupakan satu pemilihan yang standard dan mengikut garis panduan persijilan ISO9001:2000
Kriteria pemilihan calon tokoh NILAM peringkat negeri adalah seperti berikut:
1. Sudah membaca lebih 360 buah buku bagi sekolah rendah.
2. Dibuktikan dengan rekod yang disahkan oleh pihak sekolah dan panel penilai negeri (JPN,PPD,BTPN dan PKG).
3. Kecekapan dan keyakinan apabila diusulkan pelbagai soalan berkenaan bahan bacaan.
4. Pencapaian akademik (berdasarkan buku rekod prestasi).
5. Pembacaan teks yang ditentukan oleh panel penilai.
Semoga dengan penganugerahan ini akan menyemarakkan lagi semangat Adik Nor Suhaila untuk terus berjaya di masa hadapan.

Read more...

Pemansuhan "Open Book Test" PTK

>> 19 October 2009

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan surat siaran bil. KP(BPPK) 111/6 Jld.2(45) yang bertarikh 11 Mac 2009, telah memaklumkan mengenai pelaksanaan Open Book Test bagi penilaian generik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mulai Mac 2009. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui suratnya bil. JPA(PERK)241/40/1-1(19) bertarikh 28 September 2009, ianya telah mewujudkan ketidakseragaman dalam aspek pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan skim-skim perkhidmatan yang lain. Sehubungan dengan itu, dengan ketetapan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelaksanaan Open Book Test adalah dimansuhkan mulai tarikh surat siaran KP(BPPK)111/6/ Jld.4(23) bertarikh 7 Oktober 2009.(Sumber: Jabatan Pelajaran Melaka)Rujuk Surat Siaran.

Read more...

Undangan Majlis Perkahwinan

>> 09 October 2009

Pada 10/10/2009 (Sabtu), Puan Natrah Binti Hj. Budin (Guru Besar SK Tedong) akan mengadakan Majlis Perkahwinan anak perempuan beliau. Majlis ini akan diadakan di JA 1898, Parit Perawas, Sungai Rambai, Melaka.
Pasangan pengantin ialah Norazura Binti Zahari & Suhaimi Bin Hassannudin. Kepada semua staff SK Tedong dan tetamu yang telah dijemput agar dapat meluangkan masa dan menghadirkan diri ke majlis perkahwinan tersebut. Sama-samalah kita meraikannya dan semoga majlis perkahwinan ini akan diberkati dan dirahmati Allah S.W.T. Kepada Puan Natrah diucapkan "Selamat Menyambut Menantu".

Read more...

Selamat Datang Cikgu Fazari Bin Ali

>> 06 October 2009

Warga SK Tedong mengucapkan "Selamat Datang" kepada Cikgu Fazari Bin Ali bagi menjawat jawatan GPK Kokurikulum yang baru menggantikan Cikgu Zainal Md. Katas yang telah berpindah.
Beliau memulakan tugasnya di SK Tedong pada 5/10/2009. Sebelum ini Cikgu Fazari Bin Ali bertugas di SK Merlimau. Ini merupakan satu kenaikan pangkat dalam karier beliau sebagai pendidik.
Semoga dengan kehadiran beliau akan menjadikan SK Tedong terus dan bertambah cemerlang dalam bidang kokurikulum.
"Selamat Maju Jaya"

Read more...

Majlis Sent Off Cikgu Zainal

>> 03 October 2009

Cikgu Zainal bersalaman dengan murid-murid.

Pada 2 Oktober 2009, SK Tedong dengan rasa dukacita dan terharu mengadakan Majlis Sent Off Cikgu Zainal Bin Md Katas. Beliau merupakan GPK Kokurikulum dan mula bertugas di SK Tedong pada 1 April 2008. Beberapa hari sebelum menyambut Aidilfitri, beliau telah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Melaka yang mengarahkan beliau berpindah ke SK Chincin untuk menjawat jawatan GPK HEM berkuatkuasa 16 September 2009. Namun begitu beliau memohon penangguhan tarikh kerana perlu menyelesaikan beberapa tugas penting. Oleh itu pada 2 Oktober 2009, barulah Majlis Sent Off ini diadakan dan Cikgu Zainal akan memulakan tugas di sekolah baru bermula 5 Oktober 2009.
Pertukaran Cikgu Zainal merupakan satu kehilangan yang besar kepada SK Tedong kerana beliau begitu komited dengan tugasnya dan amat disenangi oleh semua warga SK Tedong. Tempoh beliau berkhidmat di SK Tedong hanyalah 1 tahun 5 bulan.
Kepada Cikgu Zainal diucapkan selamat maju jaya dan kenangan bersama warga SK Tedong abadi selamanya. Terima kasih diucapkan di atas jasa dan budi yang ditaburkan sepanjang beliau berkhidmat di SK Tedong.

Read more...

Majlis 3 Dalam 1

Majlis Khatam Al-Quran

Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal

Pada 1 Oktober 2009, SK Tedong telah mengadakan 3 majlis serentak. Majlis tersebut ialah Khatam Al-Quran, Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal.
Dalam Majlis Khatam Al-Quran, seramai 10 orang murid Tahun 6 terlibat. Dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, semua murid SK Tedong berpakaian hari raya dan membawa kuih-muih. Manakala Jamuan Perpisahan Cikgu Zainal diadakan kerana beliau akan berpindah ke SK Chincin menjawat jawatan GPK HEM. Ketiga-tiga majlis ini diadakan dengan meriahnya.

Read more...

Sumbangan Duit Raya

>> 18 September 2009

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Kelab Staff SK Tedong telah membuat satu kutipan wang di kalangan staff SKT untuk sumbangan duit raya kepada murid-murid SKT. Alhamdulillah, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan ialah sebanyak RM730. Kemudian wang itu diagihkan kepada semua murid SKT sebagai duit raya dan majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Puan Natrah Binti Budin selaku Guru Besar pada pagi Khamis (17.9.09) kerana hari Jumaat (18.09.09) semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diberi cuti khas sempena Aidilfitri. Kepada murid-murid SKT, gunakan wang itu untuk perkara yang berfaedah. Jangan membazir ya. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, maaf zahir dan batin.

Read more...

Selamat Hari Raya

>> 17 September 2009

Ramadhan kian hampir ke penghujung manakala Syawal bakal menjelma. Inilah saat duka umat Islam di seluruh dunia kerana bulan Ramadhan al Mubarak tinggal beberapa hari sahaja lagi dan akan meninggalkan kita. Kalau umur dipanjangkan oleh Allah SWT, insyaAllah kita akan bertemu lagi Ramadhan di tahun hadapan. Saat suka pula akan kita sambut kerana berjaya mengharungi Ramadhan dengan penuh keinsafan dan mengekang hawa nafsu dengan mempertingkatkan amal ibadat. Semoga semangat Ramadhan akan terus menjadikan kita insan yang bertakwa.

Kini seluruh umat Islam yang tinggal di perantauan membuat perancangan untuk pulang ke kampung berhari raya. Di kesempatan ini, SK Tedong mengucapkan "Selamat Memandu, Berhati-hati di Jalan Raya" dan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri" kepada seluruh warga SK Tedong khasnya dan umat Islam di Malaysia amnya.

Read more...

Aktiviti Selepas UPSR 1

>> 16 September 2009

UPSR telah berlalu. Sekarang murid-murid tahun 6 bagai merdeka kerana telah berjaya mengharungi peperiksaan tersebut. Namun begitu, murid-murid ini perlu diisi masanya dengan aktiviti yang berfaedah agar masa mereka tidak terbuang begitu sahaja. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah merancang berbagai aktiviti selepas UPSR. Salah satunya ialah bertadarus Al-Quran bersempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Aktiviti bertadarus ini dipimpin oleh guru-guru Pendidikan Islam SK Tedong secara bergilir-gilir.

Read more...

Permohonan Memasuki Sekolah Berasrama Penuh

>> 14 September 2009

Pada 14 September 2009 bersamaan 24 Ramadhan 1430 Hijrah, seramai 11 orang murid-murid terpilih Tahun 6 SK Tedong telah membuat permohonan memasuki Sekolah Berasrama Penuh secara atas talian (online). Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa semua permohonan untuk memasuki Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Sesi 2010 perlu dibuat secara online. Sistem permohonan untuk Tingkatan 1 telah dibuka mulai 1 September hingga 15 Oktober 2009. Pemohon diberi peluang untuk membuat pilihan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) melalui laman web http://apps.emoe.gov.my/sst1online2008/2009/. Terdapat lebih kurang 52 buah SBP di seluruh negara.

Adalah diharapkan agar murid-murid Tahun 6 SK Tedong tersebut akan mendapat keputusan 5A dalam UPSR yang baru selesai dan berjaya menempatkan diri di SBP. InsyaAllah.

Read more...

Sentuhan Seni

>> 09 September 2009

Cikgu Hakim sedang 'beraksi'

Hadapan perpustakaan

Hadapan bilik buku teks (BOSS)

Hadapan bilik Kemahiran Hidup

SK Tedong amat bertuah kerana mempunyai seorang guru yang amat kreatif dan berdedikasi iaitu Cikgu Abdul Hakim Bin Hj. Aliman. Beliau merupakan anak jati Kg. Tedong dan dilahirkan pada 27 Ogos 1960. Beliau memulakan kariernya sebagai pendidik pada tahun 1986. Beliau mula mengajar di SK Tedong pada tahun 1991. Selain mengajar Pendidikan Seni, Cikgu Hakim juga mengajar Pendidikan Muzik. Dengan bakat seni yang ada, beliau telah berjaya menceriakan banyak kawasan sekolah terutama dinding-dinding bangunan dengan lukisan dan mural yang cantik dan berseri. Dalam bidang muzik pula, tidak kurang hebat bakatnya. Beliau telah berjaya memimpin Pasukan Kompang Formasi SK Tedong menjadi Johan Peringkat Negeri Melaka pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008, dan 2009. Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga Cikgu Hakim akan terus menabur bakti di SK Tedong dan terus mengharumkan nama sekolah.

Read more...

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR

>> 07 September 2009

Pada 8, 9, dan 10 September 2009 akan berlangsungnya Peperiksaan UPSR 2009.
Di bawah merupakan jadual peperiksaan UPSR 2009 bagi sekolah kebangsaan:

Tarikh/Hari, Masa, kod, dan Nama Kertas

08 September 2009 (Selasa)
  • 8.15-9.05 pagi 011 Bahasa Melayu Pemahaman
  • 9.45-11.00 pagi 012 Bahasa Melayu Penulisan
  • 11.45-12.25 tgh hari 015/2 Matematik Kertas 2
09 September 2009 (Rabu)
  • 8.15-915 pagi 015/1 Matematik Kertas 1

10 September 2009 (Khamis)

  • 08.15 - 09.30 pagi 018 Sains
  • 10.15 - 11.05 pagi 014/1 Bahasa Inggeris Kertas 1
  • 11.45 - 01.00 petang 014/2 Bahasa Inggeris Kertas 2
  • 02.15 - 03.45 petang 013 Ujian Aptitud

Kepada murid-murid Tahun 6 SK Tedong, pihak sekolah mengucapkan "Selamat menduduki peperiksaan dan semoga anda semua mendapat keputusan yang cemerlang".

Sebahagian daripada murid-murid Tahun 6 SK Tedong.

Read more...

Mencari Lailatul Qadar

>> 06 September 2009

Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam ke sepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.(Sumber: Jabatan Mufti Melaka)

Read more...

Anugerah Bulan Membaca dan Patriotik

>> 03 September 2009

SK Tedong telah mengadakan program Bulan Membaca dan Patriotik sepanjang bulan Ogos yang lalu. Sehubungan dengan itu, satu majlis penyampaian hadiah telah diadakan. Berbagai aktiviti telah dijalankan antaranya pertandingan membaca, mewarna, mencipta logo, membina ayat, dan keceriaan bilik darjah. Semua pertandingan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid dan kakitangan sekolah. Terima kasih kepada semua guru terutamanya AJK Pusat Sumber yang telah menjayakan program tersebut.
Cikgu Anuar b. Abu Bakar (GPK1) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Read more...

Pengertian Kemerdekaan Dalam Islam

>> 30 August 2009

Penjajahan sebuah negara berlaku apabila negara tersebut dikuasai oleh orang asing. Islam tidak membenarkan negeri umat Islam dijajah dan dikuasai oleh orang yang kufur kerana ia memberi ruang untuk orang yang kufur kepada Allah memerintah dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah dan seterusnya mengenepikan hukum-hakam dan peraturan Islam. Kesannya membawa kepada berlakunya kezaliman dan lenyapnya keadilan di kalangan manusia. Menurut kamus dewan, kemerdekaan bererti bebas daripada penjajahan. Bagi Islam kemerdekaan negara bererti kemampuan negara itu untuk memiliki kuasa yang membolehkan untuk mentadbir sendiri. Dengan kekuasaan itu mereka mampu mentadbir negeri menurut hukum-hakam Allah. Justeru, apabila kuasa dimiliki oleh umat Islam tetapi pemerintahan masih lagi bertunjangkan peraturan yang tidak Islam maka umat itu belum dikira merdeka sepenuhnya. Sebuah negara yang merdeka mempunyai tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan. Tanggungjawab umat merdeka disebut oleh Allah dalam ayat 41 surah al-Haj:

Maksudnya:Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Read more...

Semangat Merdeka

>> 26 August 2009


Semangat merdeka semakin membara bila tibanya bulan Ogos. Walau di mana kita berada, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, tanggal 31 Ogos akan menjadi satu tarikh yang amat bermakna. Setiap tahun kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Pada tahun ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Namun begitu adakah pemikiran dan tindakan kita benar-benar menunjukkan diri kita sudah merdeka? Tema pada tahun ini ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Semangat merdeka perlu diterapkan dalam diri murid-murid kerana merekalah pewaris bangsa dan negara pada masa hadapan. Jika mereka tidak tahu pahit jerih untuk memerdekakan Malaysia pada 31 Ogos 1957 dahulu, mereka akan merasakan merdeka itu perkara remeh dan tidak menghargainya.
Oleh itu SK Tedong telah melancarkan Bulan Kemerdekaan di mana semangat patriotik diterapkan ke dalam diri murid-murid selain kawasan sekolah dan kelas-kelas dihias dengan bendera negeri dan negara.
Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-52 dan Selamat Berpuasa.
MERDEKA!!!

Read more...

Selamat Berpuasa

>> 21 August 2009

Assalamualaikum...

Selamat Datang Ya Ramadhan AlMubarak. Pada 22 Ogos 2009 (Sabtu), seluruh umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa. Bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertakhta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Berpuasa juga merupakan satu cara mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga."

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hambaNya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Tetapi janganlah pula asyik tidur dari pagi hingga petang tanpa melakukan amalan wajib iaitu solat. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna pelaksanaannya. InsyaAllah... Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wassalam.

Read more...

Majlis Bacaan Yasin & Solat Hajat UPSR 2009

>> 20 August 2009

Pada 19.08.2009, SK Tedong telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat UPSR. Majlis diadakan di dalam dewan di mana murid-murid akan menduduki peperiksaan UPSR nanti. Majlis dimulakan dengan bersembahyang Maghrib berjemaah. Kemudian bacaan Yasin, Solat Hajat, sembahyang Isyak dan diakhiri dengan jamuan.
Pihak sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah S.W.T dan memberi taufik serta hidayah kepada murid-murid Tahun 6 SK Tedong agar mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR. InsyaAllah...
En. Anuar b. Abu Bakar (GPK 1) memberi ucapan.

Tuan Imam mengetuai bacaan Yasin

Bapa-bapa yang hadir

Murid-murid yang hadir

Menikmati jamuan

Read more...

Menangani Influenza A (H1N1)

>> 15 August 2009

SK Tedong telah mengambil langkah proaktif dalam menangani wabak Selesema Babi atau Influenza A (H1N1) dengan memeriksa suhu badan murid yang demam pada setiap pagi. Selain itu semua murid telah dibekalkan topeng penutup mulut dan hidung. Pada setiap pagi, murid-murid yang mengalami demam akan diperiksa suhu badannya menggunakan termometer yang telah dibekalkan oleh pihak PPD Jasin. Jika suhu badan murid tersebut melebihi 38 darjah celsius, murid tersebut akan diasingkan dan dirujuk kepada Pusat Kesihatan Merlimau. Namun setakat ini belum ada lagi murid-murid SK Tedong yang suhu badannya melebihi 38 darjah celsius. Ada juga murid-murid yang mengalami demam biasa dan purata yang tidak hadir ke sekolah ialah lebih kurang 30 orang. Pihak sekolah telah merujuk kepada Pusat Kesihatan Jasin dan dimaklumkan bahawa jika murid-murid yang demam melebihi 30%, barulah sekolah akan ditutup. Sehingga kini SK Tedong masih bertahan dan sesi persekolahan beroperasi seperti biasa. Setiap hari semua murid dan kakitangan SK Tedong diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelak daripada mengunjungi tempat-tempat awam untuk mengelak daripada dijangkiti selesema babi ini.
En. Zainal B. Mohd. Katas (GPK-KOKU) sedang mengambil suhu badan murid.

Read more...

H1N1 Semakin Membimbangkan

>> 13 August 2009

Hari ini (13.08.09) akhbar Utusan Malaysia Online telah melaporkan bahawa dua orang bayi, seorang bayi perempuan berumur 10 bulan dan seorang lagi bayi lelaki berumur 12 bulan adalah antara enam korban terbaru selesema babi atau influenza A(H1N1) menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 44 orang.
Angka kematian semakin bertambah setiap hari. Sekolah-sekolah juga semakin banyak ditutup. Keadaan ini menimbulkan situasi yang membimbangkan tetapi pihak Kementerian Kesihatan menyatakan perkara ini belum lagi mencapai 'Darurat Kesihatan'. Namun begitu setiap hari ada sahaja kes-kes jangkitan baru dan menyebabkan hospital-hospital kerajaan penuh sesak dengan pesakit.
Dalam hal ini kita sepatutnya mempunyai kesedaran dan memikirkan apakah hikmah di sebalik menularnya wabak pembunuh ini. Dalam Islam sesuatu penyakit atau musibah yang melanda adalah diturunkan oleh Allah S.W.T. kerana ingin mengingatkan manusia bahawa ada perkara mungkar berleluasa yang dilakukan di muka bumi ini. Dalam hal ini tidak kira siapa benar atau siapa salah, semuanya akan terkena.
Oleh itu sama-samalah kita mendoakan dijauhkan daripada bala penyakit ini dan kembalilah kepada ajaran Islam sepenuhnya. Selain itu kebersihan adalah penting dan amalkanlah langkah-langkah kebersihan seperti di bawah.

Read more...

MENCERIAKAN MAKMAL KOMPUTER

>> 05 August 2009

Setelah tujuh bulan digunakan, tiba masanya Makmal Komputer SK Tedong diceriakan semula. Cikgu Zuraimi selaku Penyelaras Makmal Komputer bersama juruteknik komputer En. Zulkarnain mengecat semula dinding bahagian dalam makmal. Warna cat yang dipilih bersesuaian dengan warna langsir iaitu merah hati. Setelah siap kerja mengecat, nampak bertambah ceria makmal komputer tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Pusat Sumber SK Tedong kerana sudi menaja kos pembelian cat.

En. Zulkarnain dan En. Zuraimi tekun mengecat. Formal habis sebab pakai kemeja kotak tuuu....

Read more...

MERENTAS DESA

>> 01 August 2009

Pada 30hb Julai 2009, SK Tedong telah mengadakan Program Merentas Desa peringkat sekolah. Program ini merupakan aktiviti penutup sempena Bulan Kecergasan 2009. Acara merentas desa ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahun 4, Tahun 5, dan Tahun 6. Jarak larian lebih kurang 4 km melalui Kampung Tedong.
Tahniah kepada semua warga SK Tedong kerana berjaya menganjurkan program ini.
Guru Besar bersedia untuk melepaskan para peserta.

Para peserta mengambil 'penanda' di salah satu checkpoint.

Peserta yang telah tiba di garisan penamat.

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS