SK Tedong dinobatkan Johan DST Peringkat Wilayah Selatan

>> 15 November 2010



Sekolah Kebangsaan Tedong dinobatkan sebagai Johan untuk Pertandingan Digital Story Telling (DST) - My School Peringkat Wilayah Selatan (Kategori SK). Pertandingan ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan dan Fasilitator Schoolnet Wilayah Selatan. Kejayaan pertandingan ini dicapai melalui 4 orang pelajar Tahun 5 Bestari dan diketuai oleh seorang fasilitator schoolnet. Mereka terdiri daripada:-

1) Muhammad Farid Bin Samsury (Fasilitator Schoolnet SK Tedong)
2) Syarifah Nur Nazifah Bte Mohd Azmi (5 Bestari)
3) Siti Nurhasanah Bte Mohd Fuzi (5 Bestari)
4) Siti Nazehah Bte Mohd Sofian (5 Bestari)
5) Muhammad Amin Ambia Bin Mohd Ashari (5 Bestari)

Kejayaan ini amat dibanggakan khususnya warga Sekolah Kebangsaan Tedong. Semoga SK Tedong menempa kejayaan di masa akan datang. Syukur...Alhamdullilah !!!!

Untuk melihat gambar-gambar sekitar majlis penyampaian hadiah, sila klik di sini

Read more...

Majlis Penyampaian Hadiah 2010

>> 12 November 2010

Pada 11 November 2010, Sekolah Kebangsaan Tedong telah menganjurkan satu Majlis Penyampaian Hadiah 2010. Majlis tersebut telah diadakan di Dewan SK Tedong. Majlis ini telah dirasmikn oleh Pn Khatijah Bahari selaku Naib YDP PIBG SK Tedong. Majlis ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada murid-murid SK Tedong yang telah menunjukkan keupayaan tertinggi dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sumbangan kepada pihak sekolah. Kategori penyampaian hadiah ialah Penghargaan Kepada Murid Prasekolah, Hadiah Kedudukan Terbaik Dalam Kelas, Hadiah Mata Pelajaran Tertinggi, Hadiah Pembaca Terbanyak Program NILAM, Anugerah JQAF, Penghargaan Ketua dan Penolong Ketua Darjah, Penghargaan Pengawas Sekolah Tahun 6, Penghargaan Pustakawan Tahun 6, Anugerah Kokurikulum, dan Tokoh Murid 2010
Adik Yogesh a/l Karupiah telah memenangi Olahragawan 2010. Adik Muhammad Arif Bin Azlah diberikan Penghargaan Khas Kokurikulum. Bagi kategori Anugerah Tokoh Nilam 2010 telah dimenangi oleh Adik Siti Nazehah Bte Mohd Sofian. Anugerah Tokoh Murid 2010 dimenangi oleh Adik Afifah Bte Kamsin. Sekalung tahniah dan syabas kepada yang berjaya dan kepada yang gagal teruskan usaha anda.

Untuk melihat album majlis, sila klik di sini

Read more...

Majlis Perasmian Penutup Bulan Membaca 2010

>> 03 November 2010


Pada 3 November 2010 (Rabu), satu Majlis Perasmian Penutupan Bulan Membaca 2010 (Ikon Sekolah) peringkat Sekolah Kebangsaan Tedong telah diadakan dengan jayanya. Majlis penutupan ini telah dirasmikan oleh Encik Zaidi Bin Jaafar selaku Pegawai Teknologi Pendidikan, PKG (14) Serkam. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Tn. Hj Saiful Bahari Bin Mohd Sulaiman. Kemudian, acara diteruskan lagi dengan ucapan aluan dari Guru Besar SK Tedong, Tn. Hj Mohd Ismail Bin Puteh dan selepas itu ucapan perasmian penutup majlis oleh Encik Zaidi Bin Jaafar. Majlis dimeriahkan lagi dengan acara penyampaian hadiah.

Kemuncak majlis adalah pengumuman Anugerah Ikon Sekolah bagi Tahap 1 telah dimenangi oleh Adik Adriana Bte Ahmad Din (3 Bestari) manakala untuk Tahap 2 pula dimenangi oleh Adik Syarifah Nazifah (5 Bestari). Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Jutaan terima kasih pihak sekolah kepada pihak PKG (14) Serkam, guru dan staf sokongan SK Tedong.

Untuk melihat gambar sekitar majlis, klik sini

Read more...

Perkhemahan Unit Beruniform SK Tedong 2010

>> 18 October 2010


Aktiviti Perkhemahan Unit Beruniform SK Tedong 2010 telah diadakan pada 15 Oktober 2010 hingga 16 Oktober 2010. Aktiviti perkhemahan ini telah dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SK Tedong. Seramai 102 orang murid-murid Tahap 2 telah menyertai perkhemahan ini yang masing-masing mewakili 4 badan beruniform iaitu Puteri Islam, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pengakap dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Pelbagai aktiviti menarik telah dilakukan sepanjang perkhemahan ini seperti Senamrobik, Pertolongan Cemas, Membina Gadget, Pertandingan Memasak dan sebagainya. Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan murid yang terlibat menjayakan perkhemahan ini.

Untuk gambar-gambar menarik sepanjang perkhemahan, sila klik

Read more...

Khatam Al-Quran, Sambutan Hari Raya Aidil Fitri, dan Meraikan Bakal Haji

>> 02 October 2010

Pada 1 Oktober 2010, pihak SK Tedong telah menganjurkan satu lagi majlis yang merangkumi 3 perkara iaitu Khatam Al-Quran, Sambutan Hari Raya Aidil Fitri, dan Meraikan Guru-guru Bakal Haji. Majlis ini telah berjaya dianjurkan dengan meriahnya.
Dalam majlis ini, seramai sebelas orang murid-murid Tahun 6 telah berjaya mengkhatam kitab suci Al-Quran. Sambutan Hari Raya Aidil Fitri pula sempena Bulan Syawal. Guru-guru yang bakal menunaikan ibadah haji juga diraikan. Pada tahun ini, seramai tiga orang guru SK Tedong akan menunaikan ibadah haji iaitu Cikgu Abd. Raof b. Abas, Cikgu Zuraimi b. Ahmad dan Cikgu Yusni bt. Mohd Yusof. Semoga mereka bertiga akan mendapat haji yang mabrur. Untuk melihat album gambar majlis ini, sila klik di sini.

Read more...

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan

Pada 30 September 2010, SK Tedong telah menganjurkan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan 2010. Antara aturcara majlis ialah persembahan lagu patriotik dari setiap kelas bermula dari Tahun 1 sehingga Tahun 6. Selain itu disampaikan juga hadiah kepada pemenang Pertandingan Kelas Tercantik dengan hiasan semangat patriotik. Untuk melihat album gambar Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan ini, sila klik disini.

Read more...

Selamat Menduduki UPSR

>> 19 September 2010

Pada 21 - 23 September 2010, akan bermulalah UPSR 2010 bagi seluruh sekolah rendah di negara kita. Semoga semua murid Tahun 6 telah bersedia dan bersemangat untuk menduduki UPSR ini. Kepada murid-murid Tahun 6 SK Tedong, buktikan keunggulan anda dan semoga anda semua mencapai keputusan yang cemerlang, insyaAllah...

Read more...

Fasa Ke Tiga Ramadhan

>> 02 September 2010

Antara sedar dan tidak hari ini kita telah memasuki hari 23 kita berpuasa Ramadhan, ini bermakna kita sama-sama telah melangkaui fasa ke tiga Ramadhan . Fasa pertamanya Rahmah (kasih sayang Allah), kedua Maghfirah (Keampunan Allah) dan fasa ke tiganya ialah ( merdeka dari api neraka). Bulan Ramadhan yang dikenali juga sebagai Jihad menentang hawa nafsu, menjadikan kita semakin cekal dan waspada terhadap tertib, adab, aturcara yang tidak bertentangan dengan syariat Puasa itu sendiri yang dikhuatiri bukan sahaja akan mengurangkan fadhilat puasa bahkan silap-silap akan membatalkan puasa sehari suntuk itu.

Menanti di fasa terakhir Ramadhan ini ialah bebasnya dari api Neraka dalam ertikata setelah melalui dua Fasa Ramadhan, maka di penghujung Ramadhan janji Allah kepada manusia ialah terbebasnya manusia dari api neraka. Terbebasnya manusia dari api neraka ini merupakan hadiah Rabbul Jalil kepada mereka yang bersungguh-sungguh memenuhi Ramadhan dengan keyakinan , kepercayaan, ketelusan dan kesabaran mereka inilah yang akan diampunkan oleh Allah SWT. Fasa terakhir Ramadhan ini dianugerahkan oleh Allah SWT dengan malam Lailatul Qadar. Umat Islam akan memperoleh pahala dan keberkatan amalan dengan melebihi seribu bulan. Walau bagaimanapun ia hanya boleh diraih bagi mereka yang berusaha keras dengan mengikut tertib dan amalan yang telah digaris pandukan oleh para ahli ibadat dan salafussoleh.

Untuk mendapatkan kemuliaan dan keagungan malam fasa ketiga dan terakhir Ramadhan ini ialah dengan memperbanyakkan (1) berzikir, (2) bertakbir, (3) bertahlil, (4) berdoa, (5) beriktikaf, (6) bertadarus Al-Quran hingga khatam, (7) beristighfar dan (8) mendirikan Qiamullail.


Wallahua'lam.


Read more...

Fasa Ke 2 RAMADHAN

>> 23 August 2010

Tanpa disedari, waktu berjalan begitu pantas dan kita sekarang telah berada di fasa ke-2 bulan Ramadhan iaitu fasa pengampunan (maghfirah).

Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mengaut imbuhan pada fasa pertama (rahmat), maka bersegeralah bangkit semula untuk mengejar dan mengambil peluang dengan sebaik-baiknya pada fasa ke-2 ini.

Marilah kita memperbanyakkan doa memohon keampunan dari Allah pada waktu ini. Ini adalah bonus yang diberikan Allah kepada kita dan janganlah kita melepaskannya. Banyakkan membaca doa ini :


اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا


Allahumma innaka ‘afuuwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annaa


Maknanya : Ya Allah, sesungguhnya engkau amat pemaaf, menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami

Terjemahan perkataan :


اللَّهُمَّ (Allahumma) – Ya Allah

إِنَّكَ (innaka) – sesungguhnya engkau

عَفُوٌّ (‘afuuwun) – pemaaf

تُحِبُّ (tuhibbu) – menyukai

العَفْوَ (al-’afwa) – kemaafaan

فَاعْفُ (fa’fu) – maka maafkanlah

عَنَّا (‘annaa) – dari kami.


Ayuhlah kaum muslimin dan muslimat sekalian, kita melipatkali gandakan amalan pada bulan Ramadhan ini dan meneruskannya pada malam 10 terakhir dan semoga amalan baik yang kita lakukan pada bulan Ramadhan ini menjadi titik permulaan perubahan ke arah kebaikan untuk diri kita semua demi mencapai keredhaan Allah seterusnya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Sumber: Ustaz Abd Rahman bin Jamaan

Read more...

Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Cikgu Ishak

>> 20 August 2010

Pagi ini 20 Ogos 2010 bersamaan 10 Ramadhan 1431 H, seorang guru SK Tedong iaitu Cikgu Ishak Bin Hj. Abdollah telah kembali ke rahmatullah sebelum subuh pagi tadi. Seluruh warga SK Tedong mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Ishak Bin Hj. Abdollah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan solihin.
AL-FATIHAH.

Read more...

Selamat Datang Guru Baru

>> 17 August 2010

Selamat Datang dan Selamat Bertugas diucapkan kepada Puan Noraslinda binti Selamat yang telah mendaftarkan diri sebagai guru baru di SK Tedong pada 16 Ogos 2010. Beliau baru sahaja tamat pengajian KPLI di IPG Kampus Perlis dalam bidang Pendidikan Muzik/Kemahiran Hidup. SK Tedong merupakan sekolah pertama beliau berkhidmat. Seluruh warga SK Tedong mengalu-alukan kedatangan beliau.

Read more...

Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2010

>> 16 August 2010

Pada 16 Ogos 2010, SK Tedong telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2010. Majlis pelancaran telah diadakan di Tapak Perhimpunan Rasmi sekolah bermula jam 7.40 pagi. Majlis ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mohd Ismail b. Puteh selaku Guru Besar SK Tedong. Objektif Program Bulan Kemerdekaan ialah mahu membina dan mendidik warga sekolah mempunyai rasa cinta kepada negara. Selain itu semangat patriotik dapat disemai agar sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan negarawan-negarawan terdahulu dalam usaha memerdekakan, mempertahankan dan memajukan negara.
MERDEKA!



Sila klik di sini jika anda ingin melihat Album Gambar Majlis Pelancaran Bulan Merdeka SKT 2010.

Read more...

Pelancaran Bulan Membaca 2010

>> 09 August 2010


Pada 9 Ogos 2010 SK Tedong telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Membaca. Majlis ini telah diadakan di Tapak Perhimpunan SKT. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SKT iaitu Tuan Haji Mohd Ismail Bin Puteh. Objektif Bulan Membaca ini ialah untuk menambahkan lagi minat membaca buku-buku cerita/ilmiah di kalangan warga SKT terutamanya murid-murid. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang oleh Unit Pusat Sumber Sekolah di bawah kelolaan Puan Rohani Binti Ismail selaku Guru Media SKT. Pelbagai hadiah yang menarik juga akan disediakan bagi aktiviti-aktiviti yang dipertandingkan sepanjang Bulan Membaca ini. Semoga seluruh warga SKT akan mendapat manfaat daripada Bulan Membaca ini.
Sila klik di sini untuk melihat gambar-gambar majlis pelancaran di facebook.

Read more...

Hadiah Galakan

>> 02 August 2010



SK Tedong telah mengadakan Majlis Penganugerahan Hadiah Galakan NILAM (Bulan Julai) dan Galakan UPSR. Majlis ini diadakan pada 2 Ogos 2010 sewaktu perhimpunan rasmi mingguan sekolah. Hadiah Galakan NILAM kali ini bagi bulan Julai di mana Kelas 1 Melur dan 5 Bestari merupakan peminjam buku perpustakaan terbanyak. Hadiah Galakan UPSR pula bagi murid-murid Tahun 6 yang berjaya meningkatkan prestasi Bahasa Inggeris dan mendapat 5A di dalam Ujian Gerak Gempur dan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Encik Anuar bin Abu Bakar (GPK 1). Tahniah kepada murid-murid yang berjaya. Diharapkan hadiah galakan ini akan terus menyemarakkan semangat semua murid untuk berjaya di dalam pelajaran.
TERUSKAN USAHA ANDA.

Read more...

Ceramah Isra' dan Mikraj

>> 17 July 2010

Pada 16 Julai 2010 bertempat di dalam dewan SKT, Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Program Ceramah Isra' dan Mikraj peringkat SK Tedong. Ceramah telah disampaikna oleh Yang Berbahagia Ustaz Tn. Hj. Ayob bin Awaf. Isi pati ceramah ialah mengupas kembali bila berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj ini dan kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha mengadap Allah SWT.
Pihak SKT mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Ustaz Tn. Hj. Ayob yang telah sudi menyampaikan ceramahnya. Semoga kita semua mendapat pengajaran dan iktibar daripada peristiwa Isra' dan Mikraj ini dan menjadikannya sebagai landasan menjadi mukmin yang sejati.

Read more...

Teknik Menjawab Sains UPSR

Pada 16 Julai 2010, Panitia Sains SK Tedong telah menganjurkan Program Teknik Menjawab Soalan Sains UPSR. Program ini telah diadakan di makmal komputer SK Tedong. Penceramah yang dijemput ialah Pn. Nurlinda bt. Md Tan dari SK Pulai. Beliau merupakan seorang guru yang berpengalaman luas dalam subjek Sains dan merupakan salah seorang penggubal soalan Sains UPSR peringkat kebangsaan. Tujuan diadakan program ini ialah memberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada murid-murid Tahun 6 mengenai teknik-teknik yang mudah dan tepat untuk menjawab soalan Sains UPSR. Pihak SK Tedong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pn. Nurlinda di atas kesudian beliau melapangkan masa memberi tunjuk ajar mengenai teknik menjawab UPSR. Semoga murid-murid SKT mendapat manfaat daripada program ini dan berjaya di dalam UPSR nanti.

Read more...

Pelancaran Minggu Bestari 2010

>> 14 July 2010


Pada 12 Julai 2010, Unit ICT SK Tedong telah melancarkan Minggu Bestari 2010 SK Tedong. Majlis ini telah diadakan di dewan sekolah dan dirasmikan pelancarannya oleh Tn. Hj. Mohd Ismail Bin Puteh selaku Guru Besar. Matlamat diadakan Minggu Bestari ialah memberi motivasi dan meningkatkan kesedaran kepada seluruh warga SK Tedong tentang pentingnya menguasai kemahiran ICT untuk menjalani kehidupan masa kini seiring dengan perkembangan semasa. Antara aktiviti yang telah dirancang ialah:
1. Pertandingan membina bahan P&P menggunakan Powerpoint (guru).
2. Kuiz ICT secara spontan (guru & murid) dan bertulis (murid).
3. Meneka perkakasan ICT (guru & murid).
4. Pertandingan Image Editing berbantukan komputer menggunakan perisian Photoscape (murid Tahun 4,5,6).
5. Pertandingan mewarna berbantukan komputer (murid Tahun 2 & 3).
6. Pertandingan mewarna gambar (Tahun 1).
7. Pertandingan mencipta logo Unit ICT SK Tedong.

Untuk melihat gambar-gambar aktiviti Minggu Bestari, sila klik di sini.

Read more...

Majlis Bacaan Yaasin & Solat Hajat UPSR Ke 2

>> 09 July 2010


Pada 7 Julai 2010, SK Tedong telah mengadakan Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat UPSR 2010 kali ke dua. Majlis ini diadakan di dewan SK Tedong bermula jam 7 malam. Tujuan majlis ini diadakan untuk memohon keberkatan ke hadrat Allah SWT agar murid-murid Tahun 6 lulus dengan cemerlang dalam menghadapi peperiksaan UPSR 2010. Selain itu semangat kerjasama juga dapat ditanam di antara pihak sekolah dengan ibu bapa bagi meningkatkan prestasi pelajaran murid-murid. Antara aturcara majlis ialah Solat Maghrib, Solat Hajat, Bacaan Yaasin, Ucapan Guru Besar, Ucapan YDP PIBG, Solat Isya', Upacara Memohon Restu, dan Jamuan.
Majlis ini tamat pada jam 9.30 malam. Pihak SK Tedong mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Read more...

Selamat Datang Guru Besar Baru

>> 21 June 2010

Warga SK Tedong mengalu-alukan kedatangan Guru Besar yang baru iaitu Tn. Hj. Mohd Ismail Bin Puteh. Tahniah diucapkan kepada beliau yang telah dinaikkan pangkat dari GPK 1 di SK Pulai menjadi Guru Besar di SK Tedong. Beliau memulakan tugas rasminya pada 14 Jun yang lalu sewaktu cuti pertengahan tahun. Semoga SK Tedong akan terus maju dan cemerlang di bawah pimpinan Tn. Hj. Mohd Ismail Bin Puteh.

Read more...

Pergi dan Kembali

>> 04 June 2010

Pada 2 Jun 2010, SK Tedong kehilangan seorang guru muzik yang baik hati iaitu Cikgu Fadlizan bin Ayub yang telah berpindah ke SK Sebatu. Pertukaran berlaku atas arahan PPD Jasin demi kepentingan perkhidmatan. Kepada Cikgu Fadlizan diucapkan selamat bertugas di sekolah baru. Jangan bersedih dan teruskan usaha mendidik anak bangsa. Jasa anda di SK Tedong akan tetap dikenang.
Tempat Cikgu Fadlizan diganti oleh Cikgu Abd. Hakim bin Aliman yang kembali semula bertugas di SK Tedong bermula 4 Jun 2010. Kepada Cikgu Abd. Hakim diucapkan selamat kembali ke SK Tedong dan seluruh warga sekolah mengalu-alukan kepulangan anda.
Cikgu Fadlizan berpindah ke SK Sebatu.

Cikgu Abd. Hakim kembali ke SK Tedong.

Read more...

Majlis Persaraan Guru Besar

>> 03 June 2010


Pada 31 Mei 2010, SK Tedong telah mengadakan Majlis Persaraan Guru Besar iaitu Puan Natrah Binti Budin yang bersara pilihan. Majlis sambutan diadakan dua sesi. Sesi pertama diadakan pada pukul 7.45 pagi bersama guru-guru dan murid-murid di Tapak Perhimpunan. Dalam sesi ini diadakan bacaan Surah Yasin dan penyampaian cenderahati kenangan daripada guru-guru dan murid-murid kepada Pn. Natrah.
Sesi kedua pula bermula jam 9.45 pagi bertempat di dalam dewan. Sesi kedua merupakan acara rasmi sambutan. Antara tetamu yang hadir ialah Tn. Hj. Isa Bin Abu (Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka), En. Yusof Bin Ahmad (Pegawai PPD Jasin), Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah, dan wakil Guru Besar sekolah rendah Kawasan Merlimau.
Kepada Pn. Natrah diucapkan selamat bersara. Semoga Allah S.W.T. sentiasa memberi rahmat dan kesihatan yang baik sepanjang hidup beliau.
Lihat album gambar majlis persaraan di dalam facebook.

Read more...

Sambutan Hari Guru 2010

>> 17 May 2010

SK Tedong telah mengadakan sambutan Hari Guru 2010 peringkat sekolah pada 17 Mei 2010. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa. Sambutan ini diadakan di Dataran Perhimpunan. Acara sambutan dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku,Melaka Maju Jaya dan lagu sekolah. Kemudian bacaan perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Menteri Pelajaran Malaysia disampaikan oleh GPK KOKU dan GPK 1. Setelah perhimpunan rasmi selesai, acara diteruskan dengan sukaneka di mana semua guru terlibat dan dalam masa yang samalah murid-murid memberikan hadiah kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan. Selepas acara sukaneka, diadakan pula majlis jamuan guru dan bertukar-tukar hadiah di antara guru dan kakitangan sekolah. Sungguh meriah sambutan Hari Guru pada tahun ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan ini. Jika anda mempunyai akaun facebook, klik di sini untuk melihat album gambar sambutan Hari Guru 2010 SK Tedong.

Read more...

Kem Bestari Solat Siri 2

>> 12 May 2010

Pada hari Isnin 10 Mei 2010, Panitia Pendidikan Agama Islam di bawah Program JQAF telah mengadakan Kem Bestari Solat Siri ke-2. Program ini bermula jam 3.00 petang hingga 6.00 petang melibatkan murid-murid tahun 4 dan 5. Murid-murid telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan dibimbing oleh guru-guru tertentu dalam mempelajari amali solat. Dalam program ini, murid-murid dibimbing mempelajari bacaan-bacaan dan perlakuan dalam solat. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan murid yang terlibat dalam program ini.

Read more...

Pemantauan Kelompok PPD Jasin

>> 28 April 2010

Pada 27 April 2010, rombongan pegawai dari PPD Jasin telah membuat pemantauan kelompok di SK Tedong. Turut hadir bersama ialah Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Jasin iaitu En. Yusof bin Ahmad. Pemantauan yang dibuat meliputi fail-fail pentadbiran sekolah, fail-fail panitia mata pelajaran, rekod persedian mengajar guru, buku latihan murid dan mencerap guru mengajar. Semoga ulasan yang telah diberikan oleh pihak PPD Jasin akan dijadikan panduan dalam meningkatkan lagi kecemerlangan SK Tedong.

Read more...

LDP 1

>> 16 April 2010

Pada 14 April 2010, SKT telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan(LDP) kali pertama. LDP ini diadakan di makmal komputer SKT. Dalam LDP ini, guru-guru telah diberi penerangan mengenai LINUS dan EduWeb TV. Penerangan mengenai LINUS telah disampaikan oleh Encik Zuraimi Bin Ahmad dan Puan Rohani Binti Ismail manakala EduWeb TV Telah disampaikan oleh Encik Muhd. Farid Bin Samsury.
LINUS merupakan Saringan Literasi dan Numerasi bagi murid-murid Tahun 1 di mana murid-murid yang mendapat pencapaian kurang daripada 80% kemahiran asas membaca, menulis dan mengira akan ditempatkan di dalam kelas LINUS dan mengikuti pembelajaran menguasai kemahiran asas. EduWeb TV pula merupakan satu laman sesawang kelolaan Bahagian Teknologi Pendidikan Malaysia. Dalam laman sesawang ini banyak bahan video dan berita yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Zuraimi, Puan Rohani dan Encik Muhd. Farid kerana telah memberi penerangan dalam LDP kali ni. Kepada guru-guru juga diucapkan tahniah kerana berjaya menghadirkan diri untuk LDP ini.

Read more...

Pelancaran Mentor Mentee

>> 10 April 2010

Pada 9 April 2010, SK Tedong telah mengadakan satu lagi program untuk peningkatan kecemerlangan sekolah. Program tersebut ialah Mentor Mentee yang telah dirasmikan oleh Encik Radhuan Bin Abdul selaku YDP PIBG. Dalam pelancaran program tersebut, semua murid Tahun 6 selaku mentee telah diserahkan kepada mentor yang terdiri daripada AJK PIBG dan guru-guru. Semoga murid-murid Tahun 6 akan mengambil peluang ini untuk meningkatkan prestasi masing-masing dalam menghadapi UPSR dengan berjumpa mentor untuk mendapatkan bimbingan atau semangat. Selamat maju jaya. SK Tedong Boleh!
Encik Radhuan b. Abdul memberi ucapan perasmian.

Mentor menerima mentee.

Read more...

Gotong Royong

>> 09 April 2010

Pada 3 April 2010, SK Tedong telah mengadakan Program Gotong-Royong. Program ini diadakan bertujuan untuk menceriakan kawasan sekolah. Pihak yang terlibat ialah guru-guru, pekerja-pekerja, dan murid-murid Tahun 5 dan 6. Kini kawasan sekitar sekolah bertambah ceria dan berwajah baru. Syabas kepada Unit HEM SKT yang telah berjaya menganjurkan gotong-royong tersebut. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan gotong-royong tersebut.



Read more...

Solat hajat UPSR 2010

>> 08 April 2010

Pada 1 April 2010, SK Tedong dengan kerjasama PIBG telah mengadakan Majlis Solat Hajat UPSR. Majlis ini diadakan di dewan SK Tedong. Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti Solat hajat. Kemudian bacaan Surah Yasin dan Solat Isyak berjemaah. Tujuan majlis ini diadakan untuk memohon keberkatan ke hadrat Allah SWT agar murid-murid Tahun 6 lulus dengan cemerlang dalam menghadapi peperiksaan UPSR 2010. Selain itu semangat kerjasama di antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat dipupuk bagi meningkatkan prestasi pelajaran murid-murid.
Pihak SKT mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Read more...

Sukaneka 2010

>> 26 March 2010

Pada 25 Mac 2010, SK Tedong telah mengadakan Sukaneka 2010. Sukaneka ini berlangsung pada jam 2.30 petang bertempat di padang SK Tedong. Sukaneka ini berlangsung dengan penuh meriah dan warna-warni. Acara dimulakan dengan perbarisan masuk setiap rumah sukan berpakaian beragam terdiri dari Rumah Hijau, Rumah Merah, Rumah Biru dan Rumah Kuning.
Selepas acara perasmian yang dilakukan oleh En. Anuar Bin Abu Bakar selaku GPK 1 yang mewakili Guru Besar, acara sukaneka pun berjalan. Acara sukaneka adalah seperti berikut:
Prasekolah: Kepompong Ulat Sagu
Tahun 1: Sarung Kaki Anak Gergasi
Tahun 2: Terompah Gergasi Tumit Tinggi
Tahun 3: Mahkota Air Kota A Famosa
Tahun 4: Menimba Air Perigi Buta
Tahun 5: Kejar Tak Dapat, Kendong Berciciran
Tahun 6: Hoki Air Belon Sakti
Acara Terbuka:
Terompah Gergasi dan Tarik Tali

Dalam sukaneka ini, Rumah Kuning telah menjadi Johan, Rumah Biru Kedua, Rumah Merah Ketiga dan Rumah Hijau Keempat.
Pihak SK Tedong mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru, kakitangan sekolah, PIBG, ibu bapa dan murid-murid dalam menjayakan Sukaneka 2010 ini.



Read more...

Mesyuarat Agung PIBG 2010

>> 08 March 2010

Pada 6 Mac 2010, SK Tedong telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG Ke-36. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Ghazale Bin Muhamad (ADUN SERKAM). Mesyuarat Agung PIBG ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para ibu bapa/penjaga murid-murid SK Tedong. Ini mungkin kerana dalam mesyuarat kali ini, pemilihan jawatan kuasa PIBG yang baru diadakan. Semoga jawatan kuasa PIBG yang baru akan terus bekerjasama dengan pihak SK Tedong dalam meningkatkan prestasi sekolah. Kepada jawatan kuasa PIBG yang lama, jutaan terima kasih diucapkan di atas segala khidmat bakti yang telah diberikan selama ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Mesyuarat Agung PIBG ke-36 tersebut.

YB Datuk Hj. Ghazale B. Muhamad memberi ucapan perasmian.

Sebahagian daripada ibu bapa yang hadir.

Antara barisan jawatan kuasa PIBG.

Read more...

Merentas Desa 2010

>> 25 February 2010

Pada 25 Februari 2010, SK Tedong telah menjalankan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah. Penyertaan merentas desa ini terbuka kepada semua pelajar Tahun 4, 5, dan 6 Sekolah Kebangsaan Tedong. Pelajar-pelajar yang sihat sahaja dibenarkan menyertai kejohanan ini. Trek kejohanan merentas desa ini sejauh lebih kurang 4 km melalui perkampungan Kampung Tedong. Bagi pelajar Tahun 1, 2, 3, dan prasekolah pula, mereka terlibat dengan aktiviti senamrobik dan pertandingan mewarna. Objektif diadakan kejohanan ini ialah untuk memperkembangkan potensi setiap warga sekolah selaras dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Syabas dan tahniah kepada Unit Kokurikulum SK Tedong kerana telah berjaya menganjurkan kejohanan ini. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua warga SK Tedong yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.

Murid-murid memulakan larian.

Murid-murid Tahun 1, 2, 3, dan Prasekolah bersenamrobik.

Pertandingan mewarna.

Acara penyampaian hadiah.

Read more...

Motivasi Keibubapaan 2010

>> 17 February 2010

Pada 13 Februari 2010, SK Tedong telah mengadakan Program Motivasi Keibubapaan 2010. Program ini merupakan satu sesi ceramah motivasi khusus untuk ibu bapa/penjaga murid-murid SK Tedong. Sesi ceramah telah disampaikan oleh Encik Isa Bin Jolan selaku Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling JPM. Antara pengisian ceramah ialah tips-tips bagaimana hendak mendidik anak berjaya dalam pelajaran dan cemerlang dalam kehidupan. Sambutan daripada ibu bapa amat menggalakan dan semoga input-input yang telah diperolehi dapat diaplikasikan dalam mendidik anak-anak menuju kejayaan.
Pihak SK Tedong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Isa Bin Jolan, guru-guru dan ibu bapa yang terlibat dalam menjayakan program ini.



Read more...

Pelancaran Program NILAM 2010

>> 09 February 2010

Pada 8 Februari 2010, SK Tedong telah mengadakan Majlis Pelancaran Program NILAM dan Logo PSS 2010. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pn. Natrah Binti Budin selaku Guru Besar SK Tedong. Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.

Objektif NILAM ialah :

1. Menjadikan murid banyak membaca ( semua bidang , bahan berkualiti & bukan sahaja pembacaan yang berorientasikan peperiksaan)
2. Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini.

Acara perasmian oleh Pn. Natrah Binti Budin

Hadiah Utama

Logo PSS SK Tedong

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS