LADAP KE-5

>> 28 July 2009

Pada 25hb Julai 2009, SK Tedong telah mengadakan LADAP ke-5 yang bertajuk Pembinaan Pasukan (Team Building) dan MS Powerpoint 2007. Fasilitator LADAP kali ini ialah Tn. Hj. Hamzah Bin Mohd Taib (Pen. PPD Jasin - Pegawai KGSK) dan Cik Zaynorsuhada Abu Bakar (Fasilitator Schoolnet). Objektif kursus ialah mempertingkatkan budaya kerja yang mantap, berdaya saing, komitmen serta sikap kerja berpasukan dan juga meningkatkan kemahiran Powerpoint untuk P&P. Ia juga bertujuan memberi input tentang budaya kerja secara berkumpulan dan menanam nilai-nilai yang baik dalam menjalankan urusan kerja seharian. Nilai-nilai yang baik diharap akan dapat meningkatkan produktiviti dan mutu kerja guru-guru SK Tedong.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Tn. Hj. Hamzah Bin Mohd Taib dan Cik Zaynorsuhada Abu Bakar kerana sudi menjadi fasilitator.
Tn. Hj. Hamzah Bin Mohd Taib memberi penerangan aktiviti.

Aktiviti bahasa isyarat.

'orang buat-buat buta' mencari barang.

Kerjasama membina khemah kertas.

Cik Zaynorsuhada Abu Bakar menerangkan penggunaan MS Powerpoint 2007.

Read more...

CERAMAH DAN PEMERIKSAAN KESIHATAN

>> 22 July 2009

Pada 21 Julai 2009, SK Tedong telah mengadakan Program Ceramah dan Pemeriksaan Kesihatan sempena Bulan Kecergasan 2009. Program ini anjuran Unit Kokurikulum di bawah pimpinan En. Zainal Bin Muhamad Katas. SK Tedong telah menjemput pihak Pusat Kesihatan Merlimau untuk menjayakan program ini. Isi kandungan program ialah sesi ceramah dan pameran kesihatan khas untuk murid-murid. Manakala untuk guru-guru dan pekerja sekolah diadakan pemeriksaan kesihatan percuma. Pemeriksaan yang dilakukan ialah tekanan darah, berat dan tinggi badan. Yang paling menarik bab timbang berat badan, ada yang takut nak timbang....hehehe....siapa tu? Apa-apa pun yang penting kita sihat.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Pusat Kesihatan Merlimau yang telah sudi menjayakan program ini.
Staff Nurse sedang memberikan ceramah beliau.

Guru-guru menjalani pemeriksaan kesihatan.

Read more...

PROGRAM BULAN MEMBACA

Pada 21 Julai 2009, Pusat Sumber SK Tedong telah melancarkan Program Bulan Membaca & Patriotisme 2009. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyuntik kepekaan warga pendidik dan murid-murid SK Tedong tentang pentingnya amalan membaca dan mengenalpasti jenis bahan bacaan yang menarik. Pada mulanya majlis pelancaran diadakan di Dataran Perhimpunan, tetapi berpindah ke dalam dewan kerana tiba-tiba hujan turun. Program ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Tedong iaitu Pn. Natrah Binti Budin.

Pn. Natrah Binti Budin (Guru Besar) melepaskan burung tekukur sebagai tanda perasmian.

Read more...

SUKAN CERGAS CERDAS PRASEKOLAH 2009

Pada 18 Julai 2009, Prasekolah SK Tedong telah menyertai Sukan Cergas Cerdas Prasekolah Kawasan Merlimau 2009 yang telah diadakan di SK Merlimau Dua. Walaupun tidak menjadi johan dalam sukan tersebut, SK Tedong berjaya mendapat tempat ke-2 dalam acara perbarisan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada murid-murid prasekolah SK Tedong dan guru-guru pengiring serta pembantu murid yang telah memberi komitmen yang cukup tinggi dalam menyertai sukan tersebut.


Read more...

ISRAK DAN MIKRAJ

>> 17 July 2009

Menurut jumhur ulama, peristiwa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu umat Islam di Malaysia akan menyambut dan memperingati peristiwa tersebut pada hari Isnin ini bersamaan 20 Julai 2009.

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1)

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.

(Surah an-Najm: ayat 13-18)


Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

Read more...

AKTIVITI BULAN KECERGASAN

>> 13 July 2009

Aktiviti Bulan Kecergasan SK Tedong diteruskan lagi pada minggu ini (13.7.09). Aktiviti dimulakan dengan acara senamrobik. Kemudian diadakan pertandingan bola sepak 4 sebelah dan bola jaring 4 sebelah antara murid-murid. Sambutan daripada murid-murid amat menggalakkan dan membuatkan GPK KOKU iaitu En. Zainal Bin Mohamad Katas tersenyum lebar.

Murid-murid menggayakan rentak ago-go. Ewaaaaah....

Pertandingan bola sepak 4 sebelah

Pertandingan bola jaring 4 sebelah

Read more...

LADAP KE-4

Pada 11hb Julai 2009, SK Tedong mengadakan LADAP ke-4. LADAP kali ini bertajuk Pengurusan Sistem Fail disampaikan oleh Encik Nor Hashim Bin Hj. Hasan (Pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka). LADAP kali ini banyak memberi maklumat dan pengetahuan dalam menguruskan sistem fail terutama fail panitia dan fail-fail lain yang ada di sekolah secara sistematik. Apabila maklumat dan data dapat diuruskan dengan sistematik, maka pencarian maklumat untuk tindakan dan rujukan akan menjadi mudah dan cepat.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Nor Hashim Bin Hj. Hasan kerana sudi menjadi fasilitator LADAP ke-4 ini.

En. Nor Hashim sedang menyampaikan ceramah.

LADAP ke-4 ini dipantau oleh En. Kow Hong Chong (Penyelia PPD SJKC/SJKT)

Guru-guru tekun mendengar ceramah. Faham ke tu....

Read more...

PROGRAM RAWATAN GIGI

>> 08 July 2009

Bermula 2hb Julai 2009, Pusat Kesihatan Merlimau telah mengadakan Program Rawatan Gigi di SK Tedong. Program ini akan berjalan selama 2 minggu bertujuan membuat pemeriksaan dan rawatan pergigian dan seterusnya mendidik murid-murid SK Tedong pentingnya menjaga kebersihan gigi.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh petugas dan jururawat pergigian Pusat Kesihatan Merlimau ialah memberi tunjuk ajar cara memberus gigi yang betul dan memeriksa gigi murid-murid. Sebelum murid-murid diberi rawatan pergigian, kebenaran daripada pihak ibu bapa/penjaga murid diminta terlebih dahulu. Jika ibu bapa/penjaga tidak memberi kebenaran, maka seseorang murid itu tidak akan diberi rawatan pergigian. Tetapi nampaknya semua murid mendapat kebenaran untuk diberi rawatan. Syabas kepada ibu bapa/penjaga yang sedar akan pentingnya menjaga kesihatan gigi.

Murid-murid diajar cara memberus gigi yang betul.


Seorang murid sedang menerima rawatan pergigian.


Kalau gigi tidak dijaga, ini akibatnya.....


Beginilah gigi yang dijaga bersih, senyum nampak cantik kan....

Read more...

PELANCARAN BULAN KECERGASAN

>> 06 July 2009

Pada 6hb Julai 2009, SK Tedong telah melancarkan Bulan Kecergasan. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh GPK KOKU iaitu En. Zainal Bin Muhamad Katas pada waktu kegiatan kokurikulum. Selepas majlis pelancaran, diadakan acara senamrobik yang dikendalikan oleh enam orang guru pelatih Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka yang sedang menjalani latihan praktikum di SK Tedong. Murid-murid dan semua guru yang terlibat nampaknya 'enjoy' menjayakan senamrobik tersebut.
"Badan Sihat, Otak Cerdas"
.
En. Zainal Bin Muhamad Katas sedang memberi taklimat.

Murid-murid bersenamrobik.

Read more...

MESYUARAT KHAS AJK PIBG

>> 05 July 2009

Pada 4 Julai 2009, telah berlangsung satu mesyuarat khas AJK PIBG bersama Pentadbir dan guru-guru Tahun 6 SK Tedong. Mesyuarat khas tersebut diadakan pada jam 3 petang bertempat di Makmal Komputer SK Tedong. Tujuan mesyuarat adalah untuk membentangkan Laporan Prestasi Kecemerlangan UPSR 2009 dan seterusnya membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan prestasi calon-calon UPSR. En. Anuar b. Abu Bakar selaku GPK 1 telah membentangkan Laporan Prestasi murid-murid Tahun 6 di dalam Ujian Pengesanan 1, Pengesanan 2 dan Peperiksaan Pertengahan Tahun. AJK PIBG banyak memberi cadangan yang berguna untuk meningkatkan pencapaian murid-murid Tahun 6 dan pihak pentadbir SKT akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Semoga PIBG dan sekolah akan terus bekerjasama dalam meningkatkan prestasi sekolah dalam apa jua bidang pun.

GPK 1 sedang membentangkan Laporan Prestasi Murid-murid Tahun 6.
Di sebelah beliau adalah Guru Besar, Yang Di Pertua PIBG dan Naib Yang Di Pertua.

Cikgu Abd. Hakim selaku Setiausaha PIBG sibuk mencatatat minit.

Antara AJK PIBG yang hadir

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS