Pengertian Kemerdekaan Dalam Islam

>> 30 August 2009

Penjajahan sebuah negara berlaku apabila negara tersebut dikuasai oleh orang asing. Islam tidak membenarkan negeri umat Islam dijajah dan dikuasai oleh orang yang kufur kerana ia memberi ruang untuk orang yang kufur kepada Allah memerintah dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah dan seterusnya mengenepikan hukum-hakam dan peraturan Islam. Kesannya membawa kepada berlakunya kezaliman dan lenyapnya keadilan di kalangan manusia. Menurut kamus dewan, kemerdekaan bererti bebas daripada penjajahan. Bagi Islam kemerdekaan negara bererti kemampuan negara itu untuk memiliki kuasa yang membolehkan untuk mentadbir sendiri. Dengan kekuasaan itu mereka mampu mentadbir negeri menurut hukum-hakam Allah. Justeru, apabila kuasa dimiliki oleh umat Islam tetapi pemerintahan masih lagi bertunjangkan peraturan yang tidak Islam maka umat itu belum dikira merdeka sepenuhnya. Sebuah negara yang merdeka mempunyai tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan. Tanggungjawab umat merdeka disebut oleh Allah dalam ayat 41 surah al-Haj:

Maksudnya:Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Read more...

Semangat Merdeka

>> 26 August 2009


Semangat merdeka semakin membara bila tibanya bulan Ogos. Walau di mana kita berada, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, tanggal 31 Ogos akan menjadi satu tarikh yang amat bermakna. Setiap tahun kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Pada tahun ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Namun begitu adakah pemikiran dan tindakan kita benar-benar menunjukkan diri kita sudah merdeka? Tema pada tahun ini ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Semangat merdeka perlu diterapkan dalam diri murid-murid kerana merekalah pewaris bangsa dan negara pada masa hadapan. Jika mereka tidak tahu pahit jerih untuk memerdekakan Malaysia pada 31 Ogos 1957 dahulu, mereka akan merasakan merdeka itu perkara remeh dan tidak menghargainya.
Oleh itu SK Tedong telah melancarkan Bulan Kemerdekaan di mana semangat patriotik diterapkan ke dalam diri murid-murid selain kawasan sekolah dan kelas-kelas dihias dengan bendera negeri dan negara.
Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-52 dan Selamat Berpuasa.
MERDEKA!!!

Read more...

Selamat Berpuasa

>> 21 August 2009

Assalamualaikum...

Selamat Datang Ya Ramadhan AlMubarak. Pada 22 Ogos 2009 (Sabtu), seluruh umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa. Bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertakhta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Berpuasa juga merupakan satu cara mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga."

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hambaNya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Tetapi janganlah pula asyik tidur dari pagi hingga petang tanpa melakukan amalan wajib iaitu solat. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna pelaksanaannya. InsyaAllah... Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wassalam.

Read more...

Majlis Bacaan Yasin & Solat Hajat UPSR 2009

>> 20 August 2009

Pada 19.08.2009, SK Tedong telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat UPSR. Majlis diadakan di dalam dewan di mana murid-murid akan menduduki peperiksaan UPSR nanti. Majlis dimulakan dengan bersembahyang Maghrib berjemaah. Kemudian bacaan Yasin, Solat Hajat, sembahyang Isyak dan diakhiri dengan jamuan.
Pihak sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah S.W.T dan memberi taufik serta hidayah kepada murid-murid Tahun 6 SK Tedong agar mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR. InsyaAllah...
En. Anuar b. Abu Bakar (GPK 1) memberi ucapan.

Tuan Imam mengetuai bacaan Yasin

Bapa-bapa yang hadir

Murid-murid yang hadir

Menikmati jamuan

Read more...

Menangani Influenza A (H1N1)

>> 15 August 2009

SK Tedong telah mengambil langkah proaktif dalam menangani wabak Selesema Babi atau Influenza A (H1N1) dengan memeriksa suhu badan murid yang demam pada setiap pagi. Selain itu semua murid telah dibekalkan topeng penutup mulut dan hidung. Pada setiap pagi, murid-murid yang mengalami demam akan diperiksa suhu badannya menggunakan termometer yang telah dibekalkan oleh pihak PPD Jasin. Jika suhu badan murid tersebut melebihi 38 darjah celsius, murid tersebut akan diasingkan dan dirujuk kepada Pusat Kesihatan Merlimau. Namun setakat ini belum ada lagi murid-murid SK Tedong yang suhu badannya melebihi 38 darjah celsius. Ada juga murid-murid yang mengalami demam biasa dan purata yang tidak hadir ke sekolah ialah lebih kurang 30 orang. Pihak sekolah telah merujuk kepada Pusat Kesihatan Jasin dan dimaklumkan bahawa jika murid-murid yang demam melebihi 30%, barulah sekolah akan ditutup. Sehingga kini SK Tedong masih bertahan dan sesi persekolahan beroperasi seperti biasa. Setiap hari semua murid dan kakitangan SK Tedong diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelak daripada mengunjungi tempat-tempat awam untuk mengelak daripada dijangkiti selesema babi ini.
En. Zainal B. Mohd. Katas (GPK-KOKU) sedang mengambil suhu badan murid.

Read more...

H1N1 Semakin Membimbangkan

>> 13 August 2009

Hari ini (13.08.09) akhbar Utusan Malaysia Online telah melaporkan bahawa dua orang bayi, seorang bayi perempuan berumur 10 bulan dan seorang lagi bayi lelaki berumur 12 bulan adalah antara enam korban terbaru selesema babi atau influenza A(H1N1) menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 44 orang.
Angka kematian semakin bertambah setiap hari. Sekolah-sekolah juga semakin banyak ditutup. Keadaan ini menimbulkan situasi yang membimbangkan tetapi pihak Kementerian Kesihatan menyatakan perkara ini belum lagi mencapai 'Darurat Kesihatan'. Namun begitu setiap hari ada sahaja kes-kes jangkitan baru dan menyebabkan hospital-hospital kerajaan penuh sesak dengan pesakit.
Dalam hal ini kita sepatutnya mempunyai kesedaran dan memikirkan apakah hikmah di sebalik menularnya wabak pembunuh ini. Dalam Islam sesuatu penyakit atau musibah yang melanda adalah diturunkan oleh Allah S.W.T. kerana ingin mengingatkan manusia bahawa ada perkara mungkar berleluasa yang dilakukan di muka bumi ini. Dalam hal ini tidak kira siapa benar atau siapa salah, semuanya akan terkena.
Oleh itu sama-samalah kita mendoakan dijauhkan daripada bala penyakit ini dan kembalilah kepada ajaran Islam sepenuhnya. Selain itu kebersihan adalah penting dan amalkanlah langkah-langkah kebersihan seperti di bawah.

Read more...

MENCERIAKAN MAKMAL KOMPUTER

>> 05 August 2009

Setelah tujuh bulan digunakan, tiba masanya Makmal Komputer SK Tedong diceriakan semula. Cikgu Zuraimi selaku Penyelaras Makmal Komputer bersama juruteknik komputer En. Zulkarnain mengecat semula dinding bahagian dalam makmal. Warna cat yang dipilih bersesuaian dengan warna langsir iaitu merah hati. Setelah siap kerja mengecat, nampak bertambah ceria makmal komputer tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Pusat Sumber SK Tedong kerana sudi menaja kos pembelian cat.

En. Zulkarnain dan En. Zuraimi tekun mengecat. Formal habis sebab pakai kemeja kotak tuuu....

Read more...

MERENTAS DESA

>> 01 August 2009

Pada 30hb Julai 2009, SK Tedong telah mengadakan Program Merentas Desa peringkat sekolah. Program ini merupakan aktiviti penutup sempena Bulan Kecergasan 2009. Acara merentas desa ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahun 4, Tahun 5, dan Tahun 6. Jarak larian lebih kurang 4 km melalui Kampung Tedong.
Tahniah kepada semua warga SK Tedong kerana berjaya menganjurkan program ini.
Guru Besar bersedia untuk melepaskan para peserta.

Para peserta mengambil 'penanda' di salah satu checkpoint.

Peserta yang telah tiba di garisan penamat.

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS