Sumbangan Duit Raya

>> 18 September 2009

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Kelab Staff SK Tedong telah membuat satu kutipan wang di kalangan staff SKT untuk sumbangan duit raya kepada murid-murid SKT. Alhamdulillah, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan ialah sebanyak RM730. Kemudian wang itu diagihkan kepada semua murid SKT sebagai duit raya dan majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Puan Natrah Binti Budin selaku Guru Besar pada pagi Khamis (17.9.09) kerana hari Jumaat (18.09.09) semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diberi cuti khas sempena Aidilfitri. Kepada murid-murid SKT, gunakan wang itu untuk perkara yang berfaedah. Jangan membazir ya. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, maaf zahir dan batin.

Read more...

Selamat Hari Raya

>> 17 September 2009

Ramadhan kian hampir ke penghujung manakala Syawal bakal menjelma. Inilah saat duka umat Islam di seluruh dunia kerana bulan Ramadhan al Mubarak tinggal beberapa hari sahaja lagi dan akan meninggalkan kita. Kalau umur dipanjangkan oleh Allah SWT, insyaAllah kita akan bertemu lagi Ramadhan di tahun hadapan. Saat suka pula akan kita sambut kerana berjaya mengharungi Ramadhan dengan penuh keinsafan dan mengekang hawa nafsu dengan mempertingkatkan amal ibadat. Semoga semangat Ramadhan akan terus menjadikan kita insan yang bertakwa.

Kini seluruh umat Islam yang tinggal di perantauan membuat perancangan untuk pulang ke kampung berhari raya. Di kesempatan ini, SK Tedong mengucapkan "Selamat Memandu, Berhati-hati di Jalan Raya" dan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri" kepada seluruh warga SK Tedong khasnya dan umat Islam di Malaysia amnya.

Read more...

Aktiviti Selepas UPSR 1

>> 16 September 2009

UPSR telah berlalu. Sekarang murid-murid tahun 6 bagai merdeka kerana telah berjaya mengharungi peperiksaan tersebut. Namun begitu, murid-murid ini perlu diisi masanya dengan aktiviti yang berfaedah agar masa mereka tidak terbuang begitu sahaja. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah merancang berbagai aktiviti selepas UPSR. Salah satunya ialah bertadarus Al-Quran bersempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Aktiviti bertadarus ini dipimpin oleh guru-guru Pendidikan Islam SK Tedong secara bergilir-gilir.

Read more...

Permohonan Memasuki Sekolah Berasrama Penuh

>> 14 September 2009

Pada 14 September 2009 bersamaan 24 Ramadhan 1430 Hijrah, seramai 11 orang murid-murid terpilih Tahun 6 SK Tedong telah membuat permohonan memasuki Sekolah Berasrama Penuh secara atas talian (online). Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa semua permohonan untuk memasuki Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Sesi 2010 perlu dibuat secara online. Sistem permohonan untuk Tingkatan 1 telah dibuka mulai 1 September hingga 15 Oktober 2009. Pemohon diberi peluang untuk membuat pilihan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) melalui laman web http://apps.emoe.gov.my/sst1online2008/2009/. Terdapat lebih kurang 52 buah SBP di seluruh negara.

Adalah diharapkan agar murid-murid Tahun 6 SK Tedong tersebut akan mendapat keputusan 5A dalam UPSR yang baru selesai dan berjaya menempatkan diri di SBP. InsyaAllah.

Read more...

Sentuhan Seni

>> 09 September 2009

Cikgu Hakim sedang 'beraksi'

Hadapan perpustakaan

Hadapan bilik buku teks (BOSS)

Hadapan bilik Kemahiran Hidup

SK Tedong amat bertuah kerana mempunyai seorang guru yang amat kreatif dan berdedikasi iaitu Cikgu Abdul Hakim Bin Hj. Aliman. Beliau merupakan anak jati Kg. Tedong dan dilahirkan pada 27 Ogos 1960. Beliau memulakan kariernya sebagai pendidik pada tahun 1986. Beliau mula mengajar di SK Tedong pada tahun 1991. Selain mengajar Pendidikan Seni, Cikgu Hakim juga mengajar Pendidikan Muzik. Dengan bakat seni yang ada, beliau telah berjaya menceriakan banyak kawasan sekolah terutama dinding-dinding bangunan dengan lukisan dan mural yang cantik dan berseri. Dalam bidang muzik pula, tidak kurang hebat bakatnya. Beliau telah berjaya memimpin Pasukan Kompang Formasi SK Tedong menjadi Johan Peringkat Negeri Melaka pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008, dan 2009. Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga Cikgu Hakim akan terus menabur bakti di SK Tedong dan terus mengharumkan nama sekolah.

Read more...

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR

>> 07 September 2009

Pada 8, 9, dan 10 September 2009 akan berlangsungnya Peperiksaan UPSR 2009.
Di bawah merupakan jadual peperiksaan UPSR 2009 bagi sekolah kebangsaan:

Tarikh/Hari, Masa, kod, dan Nama Kertas

08 September 2009 (Selasa)
  • 8.15-9.05 pagi 011 Bahasa Melayu Pemahaman
  • 9.45-11.00 pagi 012 Bahasa Melayu Penulisan
  • 11.45-12.25 tgh hari 015/2 Matematik Kertas 2
09 September 2009 (Rabu)
  • 8.15-915 pagi 015/1 Matematik Kertas 1

10 September 2009 (Khamis)

  • 08.15 - 09.30 pagi 018 Sains
  • 10.15 - 11.05 pagi 014/1 Bahasa Inggeris Kertas 1
  • 11.45 - 01.00 petang 014/2 Bahasa Inggeris Kertas 2
  • 02.15 - 03.45 petang 013 Ujian Aptitud

Kepada murid-murid Tahun 6 SK Tedong, pihak sekolah mengucapkan "Selamat menduduki peperiksaan dan semoga anda semua mendapat keputusan yang cemerlang".

Sebahagian daripada murid-murid Tahun 6 SK Tedong.

Read more...

Mencari Lailatul Qadar

>> 06 September 2009

Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam ke sepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.(Sumber: Jabatan Mufti Melaka)

Read more...

Anugerah Bulan Membaca dan Patriotik

>> 03 September 2009

SK Tedong telah mengadakan program Bulan Membaca dan Patriotik sepanjang bulan Ogos yang lalu. Sehubungan dengan itu, satu majlis penyampaian hadiah telah diadakan. Berbagai aktiviti telah dijalankan antaranya pertandingan membaca, mewarna, mencipta logo, membina ayat, dan keceriaan bilik darjah. Semua pertandingan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid dan kakitangan sekolah. Terima kasih kepada semua guru terutamanya AJK Pusat Sumber yang telah menjayakan program tersebut.
Cikgu Anuar b. Abu Bakar (GPK1) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Read more...
Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS