Sekolah Diminta Pantau Influenza A

>> 23 June 2009

Berita Harian Online : Semua sekolah diminta memantau tanda-tanda penyakit selesema babi atau Influenza A(H1N1)seperti demam panas dan selesema bagi mengelak jangkitan tempatan wabak itu di kalangan pelajar dan warga sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata jika ada tanda-tanda yang menjurus kepada penyakit itu, pengurusan sekolah perlu merujuknya ke hospital dengan segera.
"Sekiranya pelajar atau warga sekolah disahkan telah dijangkiti penyakit selesema babi itu, maka tindakan yang telah dinasihatkan oleh jabatan kesihatan perlu diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua buah sekolah di Lembah Klang, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson dan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2, telah diarah tutup selama seminggu mulai semalam dan hari ini kerana masing-masing mempunyai satu kes jangkitan tempatan H1N1.

Empat sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Seksyen 9 Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama: Sekolah Menengah Wangsa Maju; dan Sri Chempaka International School; pula masing-masing diarah menutup satu kelas selepas kes H1N1 disahkan.

Alimuddin berkata, antara langkah segera yang perlu diambil oleh pihak pengurusan sekolah jika berdepan dengan masalah ini ialah merujuk kes itu kepada hospital berdekatan untuk tindakan kuarantin mangsa dan keluarga.

Selain itu, katanya, pihak sekolah perlu menghubungi keluarga pelajar atau warga sekolah berkenaan dengan segera dan menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

"Pengurusan sekolah juga diminta membantu pihak hospital untuk mengenal pasti individu yang pernah berhubung dengan pesakit berkenaan selain memastikan persekitaran sekolah masing-masing terutama tandas, bilik darjah, kantin dan asrama, sentiasa bersih.

"Tidak keterlaluan sekiranya pihak pengurusan berkemampuan mengambil suhu badan pelajar dan warga sekolah setiap hari kerana dengan cara ini dapat mengesan perubahan awal kesihatan pelajar dan warga sekolah dan seterusnya tindakan segera, termasuk menghantar mereka ke hospital, dapat dilakukan segera.

"Namun begitu, kita ingin mengingatkan ibu bapa supaya tidak panik kerana semua langkah proaktif yang diambil pihak sekolah adalah langkah berjaga-jaga sahaja dan ia adalah dengan nasihat Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan," katanya.

Alimuddin berkata, semua aktiviti sekolah termasuk kokurikulum berjalan seperti biasa. - Bernama

0 comments:

Hak cipta diubahsuai oleh SK Tedong. Untuk paparan yang cantik dan memuaskan, sila gunakan Mozilla Firefox 3 atau Internet Explorer 7 ke atas. SK Tedong tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan data atau kerosakan perkakasan anda semasa melayari laman blog ini. Sekian terima kasih. Ingatlah tanggungjawab kita : "NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA"

Kembali ke ATAS